Jangan letak kereta tepi jalan di Cameron Highland

Setiap kali menjelang musim perayaan di Malaysia ini perkara utama yang akan berlaku pastinya isu berkaitan kesesakan lalu lintas terutamanya di tempat tumpuan orang ramai.

Cameron Highlands antara lokasi yang dilihat akan menjadi tumpuan orang ramai sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Hasadid A Hamid, menasihati orang ramai untuk memberi kerjasama dengan mengelakkan meletak kenderaan di kawasan larangan khususnya di tepi bahu jalan di Cameron Highlands.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang teruk di Cameron Highlands.

Katanya, antara lokasi yang akan mengalami kesesakan lalu lintas adalah di sekitar kawasan Kea Farm, pekan Brinchang dan pekan Tanah Rata yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta berhampiran jalan utama.

“Penunggang atau pemandu dinasihatkan sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhatikan dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terlibat kemalangan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi had laju yang dibenarkan dan tidak memotong barisan. Polis akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dan toleransi sifar atas kesalahan ini,” katanya.

Selain itu, bagi penunggang motosikal yang pergi ke Cameron Highlands secara berkonvoi perlulah mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan ‘marshall’ dibenarkan untuk tujuan iringan atau menahan kereta.

Hasadid juga berharap pihak pengunjung yang pertama kali datang ke Cameron Highlands untuk lebih peka dengan papan isyarat lalu lintas di sekitar Pekan Brincang kerana terdapat laluan yang dijadikan laluan sehala untuk melancarkan pergerakan.

“Laluan berkenaan dijadikan laluan sehala bagi melancarkan lagi pergerakan kenderaan.

“Pelancong mahupun orang tempatan diminta mematuhi laluan sehala berkenaan dan tidak memandu atau menunggang melawan arus untuk mengelak risiko berlaku kemalangan,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *