Keangkuhan Guan Eng dalam penjelasan skandal terowong akan memakan diri

Sepatutnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu tampil mendedahkan bukti mengenai projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, bukannya mengulang semula pelbagai tuduhan liar, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan berkaitan 10 dakwaan tidak berasas oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, siri persoalan masih belum terjawab, modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Dasar Laut Pulau Pinang tidak memenuhi piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta semasa pemberian kontrak oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Mac 2013.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menyelar tuduhan Guan Eng terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendakwa pemimpin MCA itu mahu mensabotaj dengan mendapatkan beberapa butiran daripada syarikat gergasi dari China iaitu China Railway Contruction Corporation International (CRCC) berhubung projek mega DAP tersebut.

Ka Siong menyifatkan tuduhan Setiausaha Agung DAP itu sebagai cubaan mahu mengalih perhatian dan mengelirukan rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang.

“Jika soalan demi kepentingan awam seperti ini dikatakan sabotaj, saya rasa ramai ahli DAP ketika ini cuba berbuat demikian (sabotaj) terhadap ekonomi dan pembangunan negara menerusi sesi soal jawab di Parlimen serta pelbagai saluran lain.

“Tiong Lai hanya menjalankan tugasnya mencakupi bidang logistik dan kemudahan pengangkutan supaya kontroversi melanda CRCC angkara Guan Eng, tidak menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dalam menyelesaikan pembinaan projek lain yang dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan.

“Tindakan sama dibuat bagi memastikan orang ramai tidak menuding jari kepada CRCC, susulan kelewatan menjangkau lima tahun yang berlaku terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Kenyataan dangkal Guan Eng sekadar mencerminkan keangkuhannya selepas memperlekehkan tanggungjawab memikul amanah kepentingan awam dan ketelusan membabitkan projek kerajaan negeri,” katanya yang dipetik menerusi di laman sosial Facebook rasminya.

Beliau juga menyifatkan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memiliki daya pemikiran seperti burung unta dan terjerat dalam dunianya sendiri kerana beranggapan rakyat tidak berupaya menyedari masalah menimpa Pulau Pinang ketika ini.

Tambah Ka Siong, MCA tidak akan ‘berpeluk tubuh’ terhadap pelbagai isu melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana ia berhubung kepentingan awam.

Jadi, katanya, partinya dalam ‘memburu’ kebenaran akan diteruskan.

“Apa sekalipun, isu membabitkan kepentingan awam dan keselamatan seperti ini ternyata menghakis keyakinan rakyat,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *