Kementerian akan siasat keselamatan susu tepung untuk kanak-kanak

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai susu tepung Dutch Baby untuk bayi berusia enam hingga 12 bulan didakwa tiruan.

Bayi yang meminum susu tepung daripada pek susu Dutch Baby yang berlabel 102 dikatakan mengalami ruam, batuk, cirit-birit dan demam.

Perkongsian yang tular itu mendakwa susu yang berlabel 102 itu adalah tiruan manakala susu asli dilabel sebagai 101. Selain itu, dikatakan terdapat perbezaan warna antara pek tiruan dan asli dan perkataan ‘Calcium’ ditulis berbeza iaitu ‘Kalsium’.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan siasatan untuk memastikan keselamatan produk susu tepung terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan pihaknya akan menjalankan siasatan berikutan aduan dari pengguna mengenai pek promosi susu tepung rumusan kanak-kanak tersebut.

“Pengadu mendakwa anaknya mengalami ruam merah di bahagian leher dan celah paha, batuk, cirit-birit serta demam panas selepas mengambil produk susu tepung berkenaan.

“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak bagi jualan perlu mematuhi Peraturan 91B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan pihaknya sentiasa peka dan prihatin tentang isu berkaitan yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna ada kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau Kementerian Kesihatan melalui laman web, http://moh.spab.gov.my, atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sementara itu, Dutch Lady Malaysia telah tampil mengeluarkan kenyataan dan turut membuat siasatan untuk menangani isu terbabit yang menyebabkan beberapa butiran pembungkusan disalah anggap sebagai produk tiruan.

Melalui kenyataan terbabit, kod kelompok 101 dan 102 serta perbezaan ‘Calsium’ dan ‘ Kalsium’ adalah produk tulen. Pihak Dutch Lady juga menjelaskan ciri-ciri kesahihan produk mereka untuk panduan orang ramai. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *