Kempen Anti Buli diharap bawa kesedaran kepada masyarakat

Buli atau ada yang menggunakan istilah ragging bukan satu perkara yang baru berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Ada yang mengatakan budaya itu dilakukan kepada pelajar yang baru masuk ke sekolah terbabit atau pelajar yang lemah.

Tetapi, budaya buli sehingga menyebabkan berlaku kematian telah menimbulkan kebimbangan khususnya ibu bapa. Seorang professor di sebuah universiti tempatan telah membuat kajian dan mendapati hampir setiap pelajar sekolah pernah terlibat dengan budaya buli tidak kiranya sebagai pembuli atau mangsa buli.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk mencegah gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Terkini, perpustakaan awan yang sebelum ini hanya dijadikan sebagai medan untuk masyarakat menimba ilmu telah melakukan transformasi bagi kekal relevan pada masa depan dengan menganjurkan program antibuli.

Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), dalam usaha mendekatkan diri kepada masyarakat telah mengajurkan program antibuli, ‘Kita Kawan. Bukan Lawan’.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh memaklumkan pihaknya menganjurkan program terbabit juga adalah salah satu tanggungjawab sosial dalam membantu menangani gejala buli yang semakin berleluasa.

“Kita tahu bahawa perbuatan buli berlaku di mana-mana dan tidak hanya di sekolah.

“Justeru, kita memilih untuk mengetengahkan isu ini dalam program yang melibatkan penyertaan ramai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan ini,” katanya.

Program terbabit telah disertai kira-kira 200 peserta. Antara program yang disediakan adalah pembinaan slogan antibuli, sesi tayangan video berkaitan buli, ceramah daripada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa fasilitator yang dijemput khas.

Sementara itu, fasilitator jemputan yang bertugas sebagai Jurupulih Perubatan Cara Kerja Hospital Pulau Pinang, Nur Adlina Ismail menjelaskan beliau berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai melalui program terbabit.

“Saya percaya sebahagian daripada mereka telah memiliki kesedaran berkaitan gejala buli sebelum menyertai program ini,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *