Kenapa Guan Eng tak berani saman Wee Ka Siong jika benar difitnah?

Isu projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang telah mencetuskan pelbagai kontroversi, namun Kerajaan DAP Pulau Pinang yang di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng telah memutuskan tidak akan memberi sebarang maklum balas lagi berhubung projek mega DAP berkenaan.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, keputusan itu dilakukan setelah mengambil kira keengganan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi maklum balas ke atas 10 tuntutan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, tidak ada keperluan bagi Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menafikan segala dakwaan mengenai projek mega DAP tersebut yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Saya terkejut bagaimana Ka Siong boleh mendapat maklumat daripada kontraktor utama projek ini, iaitu China Railway Construction Corporation International (CRCC), di mana kerajaan negeri sendiri pun tak sedar tentang kewujudan maklumat berkenaan.

“Ka Siong turut mengakui mempunyai maklumat tentang berapa banyak atau sedikitnya CRCC dibayar oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung sumber maklumat diperolehinya,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan.

Projek yang digembar-gemburkan akan menjadi projek terbaik DAP itu telah menimbulkan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri.

Isu projek mega DAP ini menjadi lebih hangat diperkatakan selepas pembabitan sebuah syarikat fesyen dalam projek tersebut, sekali gus mencetuskan lagi banyak persoalan dan meragukan walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan pembabitan syarikat tersebut hanya sebagai pelabur.

Malah, pelaksanaan projek mega DAP berkenaan juga turut dibantah rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang yang bimbang dengan kesan ekonomi, sosial dan juga alam sekitar.

Sebelum ini, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempersoal sama ada perjanjian projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya tersebut disetem atau sebaliknya, termasuk surat pengesahan komitmen oleh kontraktor utama.

Selain itu, pemimpin MCA itu juga turut mempersoal sama ada CRCC adalah antara pemegang saham dalam Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) serta cara pembayaran yang dilakukan kepada syarikat perunding.

Malah, kata Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh membawa perkara berhubung projek mega DAP tersebut ke mahkamah atau sebaliknya.

“Ia sekiranya ada percanggahan dalam surat perjanjian yang dikatakan untuk memastikan pihak kontraktor memenuhi tuntutan perundangan yang mereka sudah pun janjikan,” katanya lagi.

Jika benar difitnah, kenapa Menteri Pulau Pinang itu tidak berani saman Ka Siong yang mahir dalam bidang kejuruteraan? Adakah kerana segalanya sudah terbongkar? Disebabkan itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan untuk tidak memberi sebarang maklum balas berhubung projek mega DAP berkenaan? –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *