Kit Siang semakin kalut pertahankan Agen fitnah RBA

Usaha kerajaan mahu memperkenalkan undang-undang bagi memerangi penyebaran berita-berita palsu sudah tentu amat mengecewakan Penasihat DAP seumur hidup, Lim Kit Siang, kata bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau juga berkata, tindakan Ahli Parlimen Gelang Patah yang mengkritik usaha mewujudkan undang-undang itu dilihat sebagai cubaan beliau mahu menyelamatkan tentera siber pembangkang termasuk Red Bean Army yang dikatakan sangat membantu mereka pada pilihan raya umum lalu.

Tunku Aziz juga turut menyifatkan kenyataan Penasihat DAP itu sebagai penting diri dan parti sahaja tanpa menghiraukan kesan penyebaran berita-berita tidak benar terhadap rakyat.

“Jika beliau sendiri mengkritik kerajaan dalam hal ini, sudah pasti rakyat boleh mempersoalkan adakah Kit Siang sebenarnya mahu melindungi tentera siber pembangkang atau Red Bean Army yang dikatakan sangat membantu mereka pada pilihan raya umum lalu?” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Kit Siang dilapor berkata, usaha mewujudkan undang-undang tersebut kononnya berisiko menyekat hak kebebasan bersuara.

Tambah Tunku Aziz, sepatutnya Ahli Parlimen Gelang Patah itu memainkan peranan membantu menghentikan gejala buruk ini dengan menggesa penyokong-penyokong pembangkang agar tidak menyebarkan berita-berita yang tidak benar, dan bukannya bertindak mengkritik kerajaan yang berusaha mewujudkan undang-undang demi menjaga keharmonian negara.

“Penyebaran berita-berita palsu dan berbentuk provokasi dilihat semakin tidak terkawal sejak akhir-akhir ini dengan tujuan meme­nuhi agenda politik masing-masing.

“Sepatutnya Kit Siang perlu lebih matang untuk memainkan peranan membantu menghentikan gejala buruk ini dan bukannya memperlekehkan usaha kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang Putra, R. Vellasamy menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah itu bukan sesuatu yang pelik kerana bagi Penasihat DAP itu semua usaha kerajaan harus ditolak.

Katanya, Kit Siang ketika ini sebenarnya giat cuba mendapatkan perhatian rakyat untuk mengguling kerajaan sedangkan niat sebenar adalah untuk mendapatkan kuasa termasuk bantuan tentera siber pembangkang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *