Komitmen tinggi ibu bapa mampu bantu pembangunan sahsiah murid di sekolah

Pembangunan sahsiah diri murid di sekolah bukan hanya terletak kepada guru semata-mata. Sebaliknya dengan bantuan dan komitmen yang tinggi diberikan ibu bapa, perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu menangani masalah perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan proses membangunkan sahsiah murid antara cara untuk mencegah masalah pelakuan jenayah dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, untuk menangani masalah terbabit dengan lebih berkesan ia perlu mendapat kerjasama serta komitmen tinggi dari ibu bapa.

“Setakat ini kita tidak boleh mengatakan kadar masalah disiplin dan perlakuan jenayah gangsterisme dalam kalangan pelajar kritikal tetapi ia masih terkawal di bawah satu peratus.

“Malah ia bukannya melibatkan semua sekolah, sebaliknya hanya berlaku di beberapa sekolah yang dikenalpasti sebagai titik panas jenayah gangsterisme.

“Setakat ini kita menempat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di sekolah yang terdiri daripada pegawia polis untuk sentiasa berhubung dengan pelajar dan para guru sepanjang sesi persekolahan.

“Segala usaha dan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ini hanya akan berjaya menerusi kerjasama dan komitmen tinggi ibu bapa, guru, warga sekolah dan masyarakat secara serius,” katanya.

Mahdzir berkata, kebanyakkan pelajar yang terlibat dengan kes salah laku cenderung untuk terlibat dengan kejadian buli pula apabila mereka merasakan perkara tersebut adalah seronok untuk dilakukan.

Katanya, masalah disiplin dan perlakuan jenayah gangsterisme ini bukan mudah untuk ditangani kerana ia melibatkan satu proses yang panjang.

“Proses peradaban membina sebuah negara bangsa ini bukan mudah untuk dilakukan seperti yang disangkakan ramai kerana ia adalah satu proses transformasi yang panjang dan holistik.

“Malah kerjasama dengan polis dengan penempatan PPS adalah memastikan pelajar dan warga sekolah akan menerima maklumat berkaitan hukuman dan tindakan undang-undang sekiranya berlakunya kesalahan jenayah melibatkan tingkah laku murid,” katanya.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *