Kos Kajian pun caca marba, bagaimana pula kos mahu bina terowong?

PULAU PINANG – Pengarah Strategik UMNO Kepala Batas, Tuan Azizi Safar mempersoalkan, bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu meneruskan projek mega DAP berkenaan jika kontraktor utamanya, konsortium Zenith tiada modal yang mencukupi.

Pemimpin UMNO itu berkata, pengambilan balik tanah perlu dibuat sebelum pembinaan tiga lebuh raya berkenaan boleh dimulakan.

Namun, katanya, jika konsortium berkenaan tidak cukup sumber kewangan, mampukah projek mega DAP tersebut akan dapat dijalankan dengan sempurna hingga siap sepenuhnya.

“Kos pengambilan tanah untuk 3 pakej jalan utama adalah RM 544.93 juta. Pengambilan balik tanah perlu dilakukan sebelum pembinaan 3 jalan tersebut boleh dimulakan atau dilaksanakan.

“Kos pengambilan tanah adalah termasuk dalam jumlah kontrak RM 6.3 billion yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Konsortium.

“Jika Konsortium tidak cukup sumber kewangan bagaimama Konsortium nak buat bayaran untuk pengambilan tanah bagi pihak Kerajaan Negeri?

“Nak bayar kos kajian pun ‘penat’ sebab jumlah modal berbayar SPV sangat kecil berbanding kos keseluruhan projek,” katanya yang dipetik menerusi laman sosial Facebook beliau.

Beliau berkata, kontrak pembinaan jalan-jalan berkenaan bernilai RM810 juta pernah dianugerahkan kepada kepada Mudajaya, sebuah syarikat pembinaan tempatan.

Katanya, walaupun Kerajaan DAP Pulau Pinang menegaskan China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) adalah kontraktor utama yang bertanggungjawab ke atas 70% bagi kerja-kerja pembinaan projek terowong bawah dasar laut dan tiga jalan utama tersebut.

“Mudajaya bagaimana pun telah menarik diri dari projek kerana ketidaktentuan jadual perlaksaan kerja-kerja binaan jalan-jalan tersebut di pihak Konsortium,” katanya lagi.

Azizi juga mempersoalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sampai bila mahu menangguhkan pembinaan tiga lebuh raya yang dirancang di negeri ini yang sepatutnya sudah bermula pada 2014.

“Tak boleh mula bina jika urusan pengambilan tanah terlibat dengan jajaran jalan-jalan itu belum selesai.

“Sampai bila mahu tangguh?

“Hingga Konsortium cukup modal untuk biaya pengambilan balik tanah melalui jualan unit-unit kondo mewah City of Dreams?,” soalnya.

Skandal projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion telah mencetuskan pelbagai kontroversi. Lebih menjadi hangat diperkatakan selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan tidak akan memberi sebarang maklum balas lagi berhubung projek mega DAP berkenaan.-Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *