Kumpulan Doula cetus trend kelahiran tidak selamat dikalangan rakyat

Trend doula atau peneman kelahiran mula menjadi isu hangat yang diperkatakan oleh netizen. Seseorang yang menyediakan perkhidmatan doula juga dikatakan mampu memperolehi habuan lumayan sehingga RM2,000 untuk setiap pelanggannya.

Tetapi, trend doula ini dikatakan akan menyebabkan kelahiran yang tidak selamat di kalangan rakyat. Perkhidmatan doula ini adalah melakukan kelahiran bayi di rumah tanpa pengawasan pakar-pakar perubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Walaupun kadar kelahiran di Malaysia masih berada pada tahap 98 peratus sejak. Tetapi, kadar kelahiran selamat itu berada pada aliran yang membimbangkan misalnya di beberapa negari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan berlaku kadar kelahiran tidak selamat yang membimbangkan apabila wujudnya trend doula ini.

“Akhir-akhir ini, terdapat pola yang membimbangkan, misalnya di Johor apabila ada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat yang berkaitan dengan advokasi ‘pro-natural birthing’ atau ‘gentle birthing’ yang digerakkan oleh individu atau kumpulan dikenali sebagai ‘doula’ atau peneman kelahiran.

“Sepanjang tahun lalu, di Johor ada 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat dengan lima daripadanya adalah kelahiran di rumah yang berkaitan dengan ‘doula’.

“Lebih merisaukan, dua daripada kes itu adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital, namun memilih untuk bersalin di rumah selepas dihasut oleh pihak tertentu,” katanya.

Terdapat statistik yang dilakukan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, pada 2013 terdapat dua kematian bayi dan dua lagi kematian bayi pada 2016 dan 2018. Kematian terbabit dikatakan akibat kelahiran tidak selamat perkhidmatan ‘doula’.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat undang-undang mengenai amalan perbidaan, yang mana hanya orang-orang tertentu sahaja boleh mengendalikan kelahiran iaitu doktor, anggota kesihatan terlatih dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja.

Katanya, mana-mana individu yang mengamalkan perbidaan tetapi tidak berdaftar boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamalkan amalan perbidanan tanpa pendaftaran mengikut akta itu adalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Namun, peruntukan kesalahan mengikut Akta 436 itu tidak mempunyai peruntukan penguat kuasaan dan biasanya ia dikuatkuasakan oleh polis.

“Dalam hal ini, kerjasama polis untuk menjalankan siasatan terperinci serta mengambil keterangan semua pihak adalah diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati mana-mana individu yang mempunyai bukti melibatkan doula untuk tampil membuat laporan polis atau memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan untuk diambil tindakan lanjut. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *