Kurang satu peratus pelajar terlibat dengan gejala sosial dan jenayah

Gejala jenayah di dalam kalangan pelajar sekolah yang sering menjadi perhatian antaranya buli, gejala sosial dan perlakuan jenayah. Tetapi, kadar gejala jenayah melibatkan pelajar sekolah masih lagi berada di tahap rendah dan terkawal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan terdapat lebih lima juta murid dan pelajar di 10,200 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, tetapi hanya terdapat kira-kira satu peratus atau 1,000 pelajar atau murid sahaja yang terlibat dengan gejala sosial serta pelakuan jenayah.

Beliau berkata, untuk menangani masalah terbabit segala usaha telah dilakukan antaranya mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

“Berdasarkan nisbah keseluruhan murid, ia masih terkawal dan segala tindakan yang dilakukan termasuk mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) hanyalah untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Menurutnya, keupayaan membendung masalah ini dari semakin terus berleluasa dalam kalangan pelajar juga adalah hasil usaha dan kerjasama dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan.

Mohamad Fuzi juga menasihati supaya pihak sekolah tidak menyembunyikan apa sahaja bentuk kesalahan atau tingkah laku disiplin yang dilakukan pelajar sekolah semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah agar pihak mereka dapat mengambil langkah yang sepatutnya untuk mencegah gejala terbabit.

Malah, dalam usaha untuk mencegah masalah terbabit juga pihaknya telah mencadangkan untuk menempatkan PPS di semua sekolah di seluruh negara di masa akan datang.

“Berikutan kekangan keanggotaan, PPS tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap sekolah, sebaliknya hanya menumpukan kepada 402 sekolah dalam kategori ‘hotspot’ dan sekolah tertentu yang dikenal pasti mempunyai kes salah laku dan masalah disiplin,” katanya.

PSS adalah melibatkan seorang pegawai dan anggota lain-lain pangkat bertujuan untuk memantau keselamatan dan disiplin pelajar. Selain itu, ia juga berperanan sebagai mekanisme untuk menjalinkan komunikasi secara berterusan antara PDRM dan sekolah serta menyusun langkah baik untuk mencegah masalah disiplin di sekolah.

Selain itu, hasil kerjasama PDRM dengan Kementerian PEndidikan terdapat beberapa program telah dijalankan dalam usaha untuk menangani salah laku disiplin murid antaranya Program Remaja Berwawasan dan Kelab Pencegahan Jenayah. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *