Mahathir akan khianati ahli PPBM pada PRU14

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sanggup buat apa sahaja untuk menjaga kepentingan politik peribadi masing-masing, dan tidak kisah pun sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hancur, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Beliau berkata, tidak mengejutkan jika Mahathir dan Mukhriz bertanding menggunakan logo rakan sekutu mereka iaitu DAP bagi mendapatkan undi masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang kerana telah gagal untuk meraih sokongan pengundi orang Melayu.

“Dr Mahathir dan Mukhriz dalam keadaan terdesak, maka tidak hairanlah jikalau mereka bertanding menggunakan logo DAP untuk meraih undi kaum Cina oleh sebab kegagalan untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

“Dr Mahathir dan Mukhriz tak kisah PPBM terkubur asalkan menang PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Azwan berkata, beliau setuju dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa Mahathir dan Mukhriz akan bertanding atas tiket DAP pada PRU-14 yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya setuju dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa kedua-dua mereka akan bertanding atas tiket DAP pada PRU ke-14 nanti.

“Hal ini menyebabkan ketidakpuasan hati ramai pihak di dalam parti itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir tidak lagi popular di dalam PPBM,” katanya lagi.

Khairul Azwan juga berkata, keadaan itu mewujudkan satu kerjasama sulit antara Mahathir dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bagi membolehkan Pengerusi PPBM itu berpayungkan logo parti Roket itu pada PRU nanti.

“Saya amat yakin Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo DAP kerana terdesak.

“Kini semua pihak tahu bahawa Dr Mahathir merupakan seorang yang tidak berpegang kepada apa-apa prinsip kerana dia sentiasa percaya matlamat menghalalkan cara, walaupun cara tersebut merupakan sebuah pengkhianatan kepada ahli dan PPBM sendiri,” katanya.

Semalam, Mohd Puad dalam satu kenyataan mendakwa Pengerusi PPBM itu dan Timbalan Presiden PPBM itu bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU-14 nanti ekoran parti Bunga itu gagal mendapatkan sokongan daripada kalangan orang Melayu, terutama di kawasan yang parti itu mahu bertanding.

MT UMNO itu juga berkata, hasrat Mahathir dan Mukhriz mewujudkan satu dalaman oleh kelompok ‘proMahathir’ untuk mensabotaj pendaftaran parti tersebut dengan menuding jari menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *