Mahfuz dakwa anugerah darjah dan bintang kebesaran sudah tidak laku

Penarikan semula beberapa darjah serta bintang kebesaran pemimpin Pakatan Harapan oleh Sultan Kelantan yang juga YDP Agong baru-baru ini, nampaknya telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan gerombolan berhaluan kiri tersebut.

Antara yang lantang menyuarakan pendapat tentang penarikan balik darjah kebesaran tersebut ialah Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, yang baru-baru ini telah mengumumkan tidak lagi bersama PAS dan lebih memilih untuk bersahabat dengan DAP serta Pakatan.

Dalam satu kenyataan, Mahfuz berkata penarikan semula darjah dan bintang kebesaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran itu tidak bernilai lagi di mata rakyat.

Mahfuz mendakwa, darjah kebesaran dari Raja-Raja Melayu itu tidak laku lagi kerana kononnya terdapat pemimpin kleptokrat yang telah ditolak rakyat, tetapi masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut.

Ahli politik tersebut juga menganggap pemimpin Pakatan yang dilucutkan darjah kebesaran oleh Sultan Kelantan itu sebagai manusia yang berjiwa besar.

“Syabas Tun Dr Mahathir Mohamad, Husam Musa dan Wan Abd Rahim Wan Abdullah kerana berjiwa besar. Setiap manusia lahir hanya dengan gelaran sebagai hamba Allah dan tiada apa yang perlu dibangga dengan setiap gelaran.

“Penarikan balik darjah dan bintang kebesaran ini menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran sudah tidak bernilai di mata rakyat apabila pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat dilihat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut,” katanya.

Mahfuz berkata demikian selepas pihak istana Kelantan menarik semula darjah dan bintang kebesaran Pengerusi HARAPAN, Dr Mahathir, Husam, dan Abdul Rahim.

Menurut Mahfuz lagi, gelaran dan pangkat yang dipegang oleh pemimpin yang terlibat dalam kleptokrasi akan memberi persepsi yang tidak baik kepada rakyat.

Justeru, menurut Mahfuz, Majlis Raja-Raja Melayu perlu menangani perkara itu.

“Sewajarnya Majlis Raja-Raja Melayu perlu memadamkan pesepsi ini agar rakyat tidak menyalahkan Raja-Raja Melayu atas kerosakan negara akibat dari kerajaan dan tangan pemimpin klaptokrat Umno-BN.

“Apa yang semua rakyat mahukan adalah institusi Raja-Raja Melayu dipertahan dan dihormati,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *