Mahfuz harus belajar tutup mulut dan hormat institusi DiRaja

Baru-baru ini, bekas pemimpin PAS yang sering mencetuskan kontroversi iaitu Datuk Mahfuz Omar mendakwa penarikan semula darjah kebesaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan menjadikan anugerah tersebut seperti tidak lagi bernilai di mata rakyat.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Prof Dr Nasrudin Mohammed menasihatkan Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena agar belajar tutup mulut dan menghormati institusi diraja.

Beliau berkata, Mahfuz patut berdiam diri sahaja daripada membuat kenyatan melulu seperti itu yang akhirnya boleh memakan diri.

“Kata-kata Datuk Mahfuz itu mungkin boleh dianggap sebagai tindak-balas segera (immediate response) kepada apa yang berlaku.

“Baik diam, berdiam diri itu lebih baik daripada berkata-kata dalam hal yang kita tidak tahu sepenuhnya,” katanya.

Penganalisis politik itu juga berkata, pihak istana ada hak mutlak sama ada mahu menarik balik atau sebaliknya pengiktirafan yang telah dianugerahkan kepada mana-mana individu.

Jadi, Nasrudin berkata, Mahfuz tidak layak untuk mempertikaikan tindakan penarikan tersebut.

Beliau berkata, beliau yakin dan percaya institusi diraja berkenaan ada alasan yang kukuh untuk melakukan demikian.

“Kita kena ingat bahawa anugerah kurniaan, dan sebagainya ini adalah hak mutlak sultan, ia adalah satu daripada beberapa komponen kerajaan, iaitu institusi diraja atau istana.

“Sesiapa pun tidak sepatutnya mempertikaikan kerana kita tidak tahu sebenarnya apa yang menjadi dorongan atau sebab kenapa pengiktirafan itu ditarik balik.

“Masa diiktiraf dan anugerah itu diberi dia (istana) juga tidak memberikan sebab yang terlalu spesifik, paling tidak pun ia dibuat berdasarkan kriteria umum sahaja iaitu sebagai pengiktirafan atas sumbangan individu kepada rakyat negeri, negara, atau juga kepada institusi jadi itu yang berlaku.

“Kita seharusnya memperkasa atau bertunjangkan kepada kesetiaan, penghormatan dan taat setia, itu yang paling penting walaupun mungkin sesuatu perkara itu tidak senang di mata kita dan menyakitkan hati tetapi terimalah itu sebagai apa yang telah dilazimkan dalam sistem untuk kita mewujudkan kesejahteraan,” katanya lagi.

Kenyataan bekas Naib Presiden PAS itu merujuk kepada keputusan pihak istana Kelantan baru-baru ini yang menarik semula darjah kebesaran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad; Naib Presiden PAN Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Mahfuz mendakwa pengurniaan darjah kebesaran tidak lagi bermakna ketika pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga mendakwa gelaran dan pangkat yang dipegang oleh pemimpin yang terbabit dalam kleptokrasi akan memberi persepsi yang tidak baik kepada rakyat.

Mahfuz yang meninggalkan PAS akhir Disember lalu sebelum ini pernah menyamakan Mahathir yang sudah berusia 93 tahun diangkat menjadi calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu kemudiannya memohon maaf kepada Sultan Pahang dengan ketelanjuran kata-kata beliau itu walaupun pada awalnya bertegas bahawa kononnya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *