Majoriti pasangan muda bercerai akibat masalah kewangan

Trend kahwin di usia muda sudah menjadi ikutan, berkahwin muda itu tidak salah. Tetapi, apabila melangkah ke alam rumah tangga ini bukan hanya semata-mata memerlukan perasaan kasih dan sayang.

Sebaliknya, perkahwinan ini memerlukan ilmu alam perkahwinan seperti menjaga anak, tahu tanggungjawab sebagai suami, tanggungjawab sebagai isteri, menguruskan kewangan dan pelbagai lagi.

Apabila mendirikan rumah tangga tapi tidak mempunyai tanggungjawab sebagai ketua keluarga, pastinya akan berlaku pergolakkan dalam rumahtangga. Terdapat kajian mendedahkan 20 peratus pasangan Islam bercerai akibat masalah kewangan dalam usia lima tahun perkahwinan.

Perkara ini khususnya berlaku dalam kalangan pasangan muda yang mengikut trend berkahwin di usia muda. Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga mengimpikan perkahwinan yang dibina bahagia hingga ke akhir hayat.

Namun begitu, perkahwinan itu tidak semuanya indah. Pasangan pasti akan menempuhi krisis kewangan dalam alam rumah tangga. Krisis kewangan inilah salah satu cabaran yang perlu ditempuhi kebanyakkan pasangan.

Profesor Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM), Madya Dr. Rosni Samah, berkata setiap pasangan perlu mempunyai perancang kewangan yang kukuh untuk menempuh kehidupan akan datang.

Beliau berkata, jika pasangan mengalami krisis kewangan adalah penting untuk mempunyai kerjasama dan toleransi dari suami dan isteri.

“Bagi saya, setiap pasangan hendaklah mempunyai perancangan kewangan yang kukuh sebagai bekalan untuk menempuh masa depan. Sememangnya sukar bagi merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan, namun pasangan hendaklah sentiasa bersabar serta tidak cepat melatah dalam menempuhi cabaran seperti ini.

“Perlu diakui hal tersebut memerlukan kerjasama dan toleransi daripada kedua-dua belah pihak sama ada suami mahupun isteri. Untuk itu, komunikasi dalam sesebuah keluarga amatlah penting bagi mencapai persefahaman yang padu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata kebanyakkan pasangan muda berusia 30 tahun ke bawah tidak bersedia memikul tanggungjawab menyebabkan rumahtangga dibina musnah khususnya melibatkan kewangan.

Statistik direkodkan Jawi menunjukkan kes penceraian di ibu kota Julai tahun lalu sebanyak 1,828 kes. Dianggarkan setiap tahun 10,000 orang yang berkahwin adalah golongan muda.

Pasangan muda memilih untuk bercerai selepas mereka tidak mampu untuk menyelesaikan krisis kewangan mereka dengan baik. Sepatutnya setiap pasangan harus bijak menangani masalah kewangan dengan pasangan dan berusaha untuk membantu pasangan dari segi kewangan.

Oleh itu, setiap pasangan muda yang ingin mendirikan rumahtangga perlulah mengukuhkan lagi ilmu terutamanya tentang perancangan kewangan keluarga. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *