MCA dan Gerakan jangan buang masa layan penipuan Guan Eng

Jika dilihat sebelum ini, amat sukar untuk melihat pertikaman lidah antara pemimpin MCA dan DAP sama ada di media massa dan di media sosial. Kini, disebabkan isu projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong telah diserang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Semuanya berpunca kelantangan Ka Siong yang mempersoalkan kredibiliti Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam menguruskan projek mega DAP berkenaan yang telah mencetuskan kontroversi sejak tiga minggu lalu dan menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan rakyat Pulau Pinang selepas timbul unsur curiga terhadap projek mega DAP itu.

Akibat tidak tahan terus diasak oleh pemimpin MCA itu, Setiausaha Agung DAP yang belum sah jawatannya itu menggelarkan Ka Siong sebagai individu bodoh kerana mempersoalkan jumlah bayaran yang dibuat bagi projek berkenaan.

Malah Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga tidak dapat mengawal perasaannya apabila mempersoalkan apa hak Ka Siong yang mahir dalam bidang kejuruteraan mahu mengambil tahu mengenai isu projek mega DAP berkenaan.

Bagaimanapun, Ka Siong tidak terkesan dengan kenyataan Guan Eng itu. Sebaliknya, beliau berkata Ketua Menteri Pulau Pinang itu boleh kata apa sahaja, tetapi undang-undang akan menentukan kebenarannya nanti.

“Tidak guna berlawan dengan orang sebegini kerana kita hanya mengemukakan bukti sahih dan dia (Guan Eng) sudah pasti tidak mampu untuk menjawabnya dengan tepat.

“Paling utama, kita jangan terikut-ikut dengan rentak dia. Kita jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan permainan politik dia”.

Reaksi pemimpin MCA ini menunjukkan beliau berada di pihak yang benar. Ini dapat dilihat apabila beliau secara terbuka mempersoalkan kewajaran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengeluarkan modal yang amat besar hanya untuk membina satu terowong sahaja.

Lebih menimbulkan keraguan dan persoalan mengenai projek mega DAP berkenaan apabila dua buah syarikat yang kononnya dilantik sebagai konsortium permbinaan berkenaan juga langsung tidak wujud, selain penglibatan sebuah syarikat fesyen dalam projek tersebut.

Sudahlah membayar sebuah syarikat fesyen untuk pembinaan ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mengupah dua ‘syarikat hantu’ untuk kononnya membangunkan sebuah projek mega yang dirancang oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Jadi, apa yang dikatakan Ka Siong adalah benar. Tidak perlu membuang masa melayan penipuan Guan Eng. Sebaliknya, terus mendedahkan segala kepincangannya supaya rakyat terutama rakyat Pulau Pinang tahu, yang mana satu yang betul dan yang mana satu yang salah. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *