MTUC dakwa perlaksanaan SIP mungkin jadi punca ramai pekerja diberhentikan kerja

Datuk Sri Najib Tun Razak menjelaskan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang telah mula dilaksanakan pada Januari 2018.

Pelaksanaan SIP yang menjadi jaringan keselamatan sosial akan dibiayai melalui caruman daripada pekerja dan majikan dengan dana SIP akan ditadbir urus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

SIP bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapat bantuan kewangan sehingga enam bulan dan mencari pekerjaan baharu.

Pekerja yang diberhentikan akan menerima peratusan daripada gaji terakhir mereka, setiap bulan sehingga mereka dapat pekerjaan semula atau sehingga enam bulan menganggur.

Majikan diwajibkan membayar 0.2% daripada gaji pekerja sementara pekerja juga menyumbang 0.2% dalam skim itu.

Skim yang sepatutnya memberi nafas lega kepada pekerja yang diberhentikan kerja akan mendapat faedah dilihat akan menjadi sebaliknya apabila ramai majikan yang tidak bertanggungjawab dikatakan akan menyalahguna skim ini dengan memberhentikan ramai pekerjanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjelaskan majoriti mereka yang akan diberhentikan ialah kelompok pendapatan Bawah 40, yang mempunyai pekerjaan separuh mahir dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon, berkata pihaknya menyokong perlaksanaan skim terbabit. Tetapi, beliau berkata menjadi kebimbangan ia akan disalahguna oleh majikan dengan memberhentikan kakitangan mereka.

Beliau berkata, majikan yang tidak bertanggungjawab akan memberhentikan kakitangan meraka dengan menjadikan alasan pekerja terbabit akan mendapat faedah dari SIP.

“Kami sokong SIP tetapi kami tidak mahu ia disalahgunakan. Kami mahu SIP ada perlindungan sosial di mana majikan tidak boleh menyalahgunakan SIP.

“Kerana dengan SIP, majikan sekarang boleh cakap pada pekerja ‘saya akan berhentikan kamu kerana sekarang kamu boleh dapat duit daripada SIP’.

“Kami tidak mahu mereka guna SIP sebagai laluan mudah untuk kurangkan tenaga kerja,” kata Solomon.

Sehubungan itu, Solomon mencadangkan supaya kerajaan memasukkan elemen kos tatalaku untuk keharmonian industri ke dalam SIP untuk mengelakkan berlaku salah guna oleh pihak majikan.

Katanya, satu bahagian kod itu menyatakan cara untuk majikan, kesatuan dan pekerja perlu bekerjasama bagi mengelakkan berlaku pemberhentian kerja. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *