Myanmar gesa pelarian Rohingya dihantar pulang

YANGON – MYANMAR. Timbalan Menteri Myanmar bagi Hal Ehwal Dalam Negeri menggesa pelarian Rohingya yang tinggal di sebuah kem sementara di sempadan Bangladesh, supaya menerima tawaran kerajaan untuk dihantar pulang dan memberi amaran mereka akan menerima akibatnya jika gagal berbuat demikian.

Amaran itu disampaikan Aung Soe kepada kira-kira 6,000 pelarian di Tombru, sebuah kawasan tidak didiami, Jumaat lalu.

“Jika Rohingya menolak cadangan kerajaan melalui delegasi ini, anda akan terima akibatnya. Kawasan tempat tinggal anda sekarang adalah di bawah bidang kuasa Myanmar,” katanya menerusi penterjemah.

Lawatan Aung Soe ke kawasan terbabit disahkan pasukan keselamatan Bangladesh.

“Sejak Jumaat lalu, pihak berkuasa Myanmar menggunakan pembesar suara untuk menggesa pelarian meninggalkan kawasan itu,” menurut Pengawal Perbatasan Tempatan Bangladesh (BGB), Manzurul Hasan Khan.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap kerajaan berkata, 10 anggota keselamatan Myanmar akan menghadapi tindakan undang-undang berhubung pembunuhan penduduk Islam Rohingya di Rakhine, kelmarin.

“Tindakan mengikut undang-undang akan diambil terhadap tujuh tentera, tiga polis dan enam penduduk kampung sebagai sebahagian daripada siasatan pasukan keselamatan,” kata Zaw Htay.

Bulan lalu, tentera memaklumkan bahawa 10 lelaki Rohingya kononnya didakwa antara 200 anggota pemberontak yang menyerang pasukan keselamatan telah dibunuh di kampung Inn Din pada September, sebelum mereka dikebumikan di dalam sebuah kubur besar. – Agensi

Sumber- sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *