NGO buat laporan Polis terhadap Pegawai Penerangan Guan Eng

PULAU PINANG – Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Mejar Zaidi Ahmad berikutan kenyataan biadap dan penghinaan terhadap Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Pengerusinya, Sophian Mohd. Zain berkata, Zaidi telah mengeluarkan satu kenyataan yang tidak beradab dan tidak sepatutnya dikeluarkan khususnya orang Islam apabila berlaku satu kematian.

“Kita datang di sini selepas membaca satu kenyataan Facebook daripada Mejar Zaidi yang membuat satu status di laman sosialnya berkenaan dengan kematian Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

“Kenyataan ini juga kita lihat mengundang kemarahan netizen dalam media sosial. Kita lihat ini satu kenyataan yang tidak beradab dan tidak sepatutnya dikeluarkan kenyataan seperti ini.

“Bagi kita khususnya orang-orang Islam apabila berlakunya satu kematian, kita tidak akan membuat satu kenyataan menghina sebegini.

“Kenyataan seperti ini juga boleh menyebabkan gangguan emosi kepada ahli-ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

“Dan juga boleh mendatangkan satu keaiban dan salah anggapan masyarakat terhadap keluarga dan Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail,” katanya selepas membuat satu laporan polis di sebuah ibu pejabat polis di negeri ini, semalam.

Kata Zaidi yang dipetik menerusi laman Facebooknya pada 13 Februari berkata, “Innalillahi Wainna Ilaihi Raajiun, lagi seorang meninggal dalam keadaan sedang menyokong pemerintah yang zalim dan merompak duit rakyat berpuluh-puluh billion, agak2 kesyurga atau keneraka? kepada semua manusia ambillah iktibar.. mati boleh berlaku bila2 masa..bertaubatlah segera sebelum terlambat”

Tambah Sophian, perkara ini harus dibendung dan meminta supaya pihak berkuasa khususnya PDRM segera mengambil tindakan terhadap Zaidi.

Katanya, jika perkara ini tidak dibendung, ia lebih akan mengundang lagi banyak komen-komen yang akan menyebabkan berlakunya ketidakharmonian masyarakat hari ini.

“Kita telah membuat satu laporan untuk meminta pihak berkuasa khususnya PDRM mengambil tindakan di bawah seksyen 298 A kanun keseksaan dan seksyen 256 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Kenyataan ini bukan dibuat orang biasa yang duduk di tepi parit dan longkang.. Kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang manusia yang bernama Zaidi Ahmad yang jawatannya di dalam kerajaan negeri ialah sebagai Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Kalau seorang pegawai penerangan bagi ketua menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini, dimanakah integriti jika tindakan tidak diambil terhadap beliau?,” katanya.

Justeru, beliau meminta Zaidi disiasat dan diambil tindakan jika Kerajaan DAP Pulau Pinang Pinang tidak terlibat dalam kenyataan ini.

“Jika tidak, kita sebagai rakyat beranggapan bahawa ini adalah satu agenda jahat yang diatur di ketika negara menghampiri pilihan raya kenyataan ini dikeluarkan kerana Zaidi juga merupakan ahli DAP Pulau Pinang,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *