NGO Indonesia beri amaran keras kepada pendera Amah di Malaysia

Kejadian melibatkan pembantu rumah warga Indonesia yang telah didera oleh majikanya dan telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam telah mendapat perhatian banyak pihak termasuklah kerajaan Indonesia.

Mangsa dikenali sebagai Adelina Lisao, 26, telah disahkan polis mati akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah. Berikutan itu, pihak polis telah menahan dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan Adelina.

Terbaru, pihak polis juga telah menahan ibu kepada dua suspek kes mendera Adelina yang berumur 60 tahun di hadapan sebuah firma guaman di Jalan Green Hall di Georgetown.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang berperanan memperjuangkan hak pekerja asing telah memberi amaran keras tentang penganiayaan ke atas pembantu rumah di Malaysia kerana ia disifatkan sebagai melanggar hak kemanusian yang serius.

Pengarah Eksekutif Migrant Care, Wahyu Susilo berkata pihaknya telah menggesa Jakarta untuk menuntut pesalah dijatuhkan hukuman setimpal.

Katanya, adalah sesuatu yang sangat mengecawakan apabila mengetahui Adelina didera sehingga memaksa dia untuk tidur bersebelahan anjing peliharaan di rumah majikannya.

“Ini satu pelanggaran had perlakuan kemanusiaan,” katanya.

Wahyu berharap kerajaan Indonesia akan menjalankan siasatan bagi mendedahkan pihak yang telah mendera Adelina dan memastikan polis Malaysia menjalankan siasatan sewajarnya dan mengambil tindakan mahkamah.

“Apa yang biasa berlaku di Malaysia, pihak berkuasa menahan suspek yang kemudiannya dilepaskan atas jaminan selepas 1 atau 2 minggu, dan akhirnya menjadikan proses pendakwaan lama berlarutan,” katanya.

Adelina yang berasal dari daerah Nusa Tenggara Timur dan telah menjadi salah seorang mangsa pemerdagangan manusia. Isu berkaitan pemerdagangan manusia di daerah terbabit memang sangat kritikal.

Mangsa dikatakan telah bekerja dengan majikan tersebut di Bukit Mertajam sejak Disember 2014 melalui data pasportnya.

“Pemeriksaan patut dilakukan bagi menentukan pihak-pihak terlibat dalam penempatan Adelina (pekerjaan) kerana dia disyaki memasuki Malaysia secara tidak rasmi,” kata Wahyu.

Bagaimanapun, pihak polis Pulau Pinang telah menyiasat kes terbabit sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *