Pakatan akan bubarkan JAKIM jika berjaya tawan Putrajaya?

Bukti Pakatan Harapan yang dikuasai DAP langsung tidak ada komitmen jelas untuk memartabatkan Islam di Malaysia apabila mahu membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kata penganalisis politik , Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau juga harian dengan pendirian bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad kini sejak bersama dengan pembangkang.

“Menonton sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan, menampakkan dengan nyata Pakatan Harapan (PH) tidak ada komitmen jelas untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.

“JAKIM ditubuhkan sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri. Agak mengejutkan apabila Mahathir sendiri gagal mempertahankan JAKIM.

“Malah jawapan Mahathir bahawa “nothing is permanent (tiada yang kekal)” boleh ditafsirkan membawa maksud beliau boleh bersetuju dengan cadangan JAKIM dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penganalisis politik itu berkata, pemimpin Pakatan Harapan pertama yang bertindak mempersoalkan kewujudan JAKIM adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zairil Khir Johari dan diikuti pula Ahli G25, Tawfik Tun Dr Ismail yang mahu JAKIM dibubarkan.

Katanya, kedua-dua kenyataan pemimpin DAP itu dan Tawfik berhubung Jakim kemudian dikongsi Penasihat DAP seumur hidup, Lim Kit Siang melalui laman sosial Facebook dan blog beliau.

Kamarul berkata cadangan Tawfik yang disifatkan biadap itu disokong pula Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tariq Ismail.

“Selepas itu baru cadangan penghapusan Jakim disahut individu lain seperti aktivis hak asasi termasuk bekas Timbalan Pengerusi BERSIH, Sarajun Hoda Hassan dan peguam kontroversi Siti Zabedah Kasim,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang media itu juga turut mengakui ketika beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan mewujudkan JAKIM tidak semua berkaitan Islam.

Tambahnya, Pengerusi Pakatan Harapan atau lebih dikenali sebagai ‘Top Dog’ Pakatan itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa pendekatan Islam beliau selama ini tidak selaras dengan kesyumulan Islam seperti mana surah al-Baqarah.

Katanya, sepatutnya Mahathir mempertahankan kewujudan JAKIM namun kerana kuasa, Mahathir sanggup membiarkan Jakim ‘dilanyak’.

“Jika seseorang pemimpin (Islam) mempunyai harga diri maka sudah tentulah beliau akan mempertahankan secara mati-matian.

“Malangnya demi undi dan demi kuasa, Mahathir tidak ragu-ragu biar JAKIM dilanyak sekali gus menjadikan komitmen PH mendaulatkan Islam di Malaysia diragui,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *