Pakatan takut dibaling kerusi jika umum agihan kerusi di P.Pinang

PULAU PINANG – Insiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan menghantui Pakatan Harapan yang dikuasai DAP, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegagalan Pakatan Harapan yang gagal memuktamadkan pengagihan kerusi DUN di Pulau Pinang yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14) akan datang dalam konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Zainal Abidin berkata perbincangan yang diadakan Pakatan Harapan berhubung pengagihan kerusi begitu lama namun kerana tidak berjaya mencapai kesepakatan, maka gabungan pembangkang itu gagal untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau berkata ini jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang tidak bertelagah berhubung pengagihan kerusi.

“Ini sangat berbeza dengan BN kerana kita tidak bertelagah berkaitan pembahagian kerusi.

“Contohnya di Pulau Pinang, UMNO bakal bertanding di lima parlimen dan 15 DUN, Jika ada pertukaran satu atau dua kerusipun itu adalah atas dasar suka sama suka.

“Pakatan Harapan pula, bincang sudah lama tapi tetap tidak selesai.

“Jangan kata pembahagian kerusi, gabungan antara pembangkang juga bertukar, dulu pakatan rakyat, sekarang pakatan harapan.. yang pasti gabungan mereka masih tidak berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, dalam konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pulau Pinang, gabungan pembangkang itu gagal memuktamadkan pengagihan kerusi, sebaliknya Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menekankan supaya penyokong mereka tidak mempertikai keputusan berhubung pengagihan kerusi yang bakal ditetapkan kemudian.

Dalam ucapannya, bekas perdana menteri itu juga turut mengakui mempunyai masalah mengenai pengagihan kerusi dan akan ada yang berasa kecewa apabila kawasan yang diharapkan dapat kepada parti lain.

Mengulas mengenai pengumuman PAS yang bakal bertanding di 20 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU-14 akan datang, Zainal Abidin berkata, ini pastinya memeriahkan suasana pertandingan di Pulau Pinang nanti.

“Pengumuman ini pastinya menyaksikan pertemuan tiga atau empat penjuru dan mungkin lebih malah tidak mustahil sekiranya pembangkang bakal bertemu sesama sendiri.

“Apa yang pasti UMNO dan BN perlu bersedia menghadapi situasi ini dan jentera perlu diperkukuhkan agar agenda merampas Pulau Pinang menjadi kenyataan,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *