PAN dakwa negara akan bankrap jika BN kekal memerintah

Pakatan Harapan yang dikuasai DAP akan terus mendakwa Malaysia akan bankrap sekiranya UMNO dan Barisan Nasioal (BN) terus diberikan mandat untuk memerintah. Itulah dakwaan yang sering diulang-ulang oleh pakatan pembangkang tanpa bersandarkan fakta dan bukti.

Parti serpihan PAS atau lebih dikenali sebagai parti boneka DAP, Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa negara akan bankrap jika UMNO dan BN terus kekal memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad mendakwa tidak ada sebab lagi untuk pengundi memberi kepercayaan dan kemenangan lagi kepada UMNO dan BN pada PRU-14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Kalau dia (BN) menang pilihan raya, tidak mustahil bila duit sudah tidak ada, hutang semakin banyak, bayaran hutang semakin besar.

“RM800 bilion (hutang negara) iaitu RM800 ribu juta sekarang ini,” dakwa pemimpin PAN itu dalam satu kenyataan.

Khalid juga mendakwa hutang negara boleh mencapai RM1 trilion dan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan meningkat jika BN terus mentadbir negara.

Isu cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sering dipolitikkan oleh pakatan pembangkang dalam usaha menghasut rakyat kononnya sistem percukaian yang telah terbukti membantu meningkatkan ekonomi Malaysia ini membebankan rakyat.

Sedangkan langkah melaksanakan GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015 sudah dijelaskan, namun pembangkang yang tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan isu untuk memburuk-burukkan kerajaan yang di bawah pimpinan BN.

“GST (cukai barang dan keperluan) dan hutang akan naik. Semakin banyak (subsidi) akan ditarik balik. Segala bantuan, biasiswa akan ditarik balik.

“Kalau RM1 trilion iaitu satu juta juta, nak bayar, bagaimana? Kalau kita tidak hentikan dia, jadi lagi teruk dalam keadaan dia mendakwa GST bagus.

“Kalau kita tidak hentikan sekarang, dia tidak akan berhenti. Ini masalahnya kerana dia tak mengaku apa yang dibuat itu salah,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Bagi Khalid, kononnya hanya Pakatan Harapan yang didominasi DAP boleh membawa perubahan kepada negara dan rakyat.

“Dalam sejarah Islam banyak tukar kerajaan. Tiada pun masalah. Nak bawa perubahan kita kena tamatkan cengkaman UMNO ke atas pengundi Melayu,” katanya.

Cerita mengenai negara akan muflis ini merupakan kisah lapuk dan lama. Jika diikutkan fitnah dan dakyah tidak bertanggungjawab pembangkang ini, Malaysia sudah pun muflis beberapa tahun lalu.

Peliknya, agak ramai yang terpedaya dengan fitnah pembangkang itu. Sedangkan hakikatnya, ekonomi Malaysia mahupun ekonomi dunia mempunyai kitaran naik turunnya.

Tahun 1998, negara mengalami krisis kewangan yang sangat teruk dengan pertumbuhan ekonomi negara di tahap negatif, banyak perniagaan terpaksa gulung tikar, ringgit jatuh merudum dan rakyat pula hilang kerja.

Begitu juga 10 tahun kemudian dunia kembali diasak krisis ekonomi yang juga telah menyebabkan ekonomi negara menyusut. Sebagai menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil langkah proaktif dalam merangka program perangsang ekonomi.

Hasilnya pertumbuhan ekonomi melonjak semula pada kadar lebih 7 peratus pada tahun berikutnya. Walau apa-apa pun, ekonomi negara tetap berkembang pada kadar lebih 4 peratus pada separuh pertama tahun lalu dan tidak pula tersungkur ke tahap negatif seperti 1998.

Tetapi malangnya, ada sekumpulan tidak bertanggungjawab telah menyebarkan fitnah dengan mendakwa kemerosotan ekonomi negara hanya semata-mata disebabkan faktor politik. Hakikatnya, kerajaan sekarang ini berjaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara dengan baik.

Jadi, rakyat jangan mudah mempercayai dengan fitnah yang disebarkan oleh pembangkang yang tidak bertanggungjawab ini. Tindakan pembangkang ini sudah jelas mahu memburuk-burukkan kerajaan BN. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *