Parlimen akan dibubarkan selepas 2 Mac?

Berdasarkan laporan sebuah akhbar, Parlimen diramalkan dibubarkan selepas 2 Mac bagi membuka laluan agar Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang kini semakin terasa bahangnya dapat berlangsung.

Dalam sistem politik Malaysia, parlimen akan dibubarkan setiap lima tahun sekali, selepas tamat penggal pentadbiran kerajaan yang mentadbir, malah ia juga boleh dibubarkan lebih awal dari itu mengikut situasi.

Selepas parlimen terbubar, maka akan berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) untuk membuat pemilihan dan pembentukan kerajaan baru yang akan berkuasa bagi penggal seterusnya pula.

Penganalisis politik meramalkan hari mengundi akan berlangsung pada akhir bulan Mac atau awal April kerana tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum seterusnya sudah semakin singkat.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, Parlimen harus dibubarkan pada bulan MAC kerana pilihan raya tidak boleh berlangsung pada bulan Mei memandangkan ia adalah Ramadan dan bulan puasa bagi umat Islam.

“Bulan depan sangat sesuai untuk membubarkan Parlimen dan pada masa yang sama, pilihan raya perlu diadakan sebelum (bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dibebaskan dari penjara,” katanya yang dipetik menerusi akhbar the Sun.

Sementara itu, wartawan veteran Datuk Ahiruddin Atan pula mendakwa PRU-14 tidak akan berlangsung sebelum Mei kerana isu berkaitan tanah Felda di Jalan Semarak yang masih belum selesai.

Wartawan veteran itu berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad dalam satu kenyataan pada 8 Februari lalu, mengumumkan keputusan lembaga itu untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membuat semakan perundangan berdasarkan laporan audit forensik yang telah disiapkan.

“Jawatankuasa khas terbaru itu memerlukan tiga bulan untuk menyiapkan kajiannya, kata Shahrir.

“Sekarang bulan Februari, jadi tiga bulan akan membawa kita ke bulan Mei.

“Bulan suci Ramadan bermula pada pertengahan Mei dan Hari Raya bakal disambut pada pertengahan bulan Jun.

“Perlembagaan menetapkan bahawa PRU-14 mesti diadakan (selewat-lewatnya) pada bulan Ogos tahun ini,” katanya yang dipetik menerusi blognya yang disiarkan pada 9 Februari. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *