PAS dakwa perubahan dasar dilakukan Tun M punca harga barang meningkat

PAS Selangor mendakwa perubahan dasar yang dilaksanakan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi punca harga barang meningkat sehingga membebankan rakyat sekarang.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Hasbullah Ridzwan berkata, harga barang asasi naik kerana dasar kerajaan ketika zaman pemerintahan bekas perdana menteri keempat itu yang menggantikan pertanian kepada perindustrian.

Kata pemimpin parti Islam itu, ia memberikan impak sehingga negara terpaksa mengimport barang asasi.

“Hari ini rakyat merana kerana harga barang meningkat, harga barang asasi kita meningkat sebab apa?.

“Sebab perubahan dasar negara di zaman Dr Mahathir daripada kita sebuah negara yang kaya dengan hasil pertanian, kita berubah kepada dasar perindustrian.

“Akhirnya apa jadi tuan-tuan, 30 peratus barang makanan asasi negara kita kena import, ini yang menyebabkan harga barang kita naik hari ini… bawang nak kena import, beras yang menjadi makanan asasi kita kena import, sebab apa sebab kita berubah dasar,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasbullah juga berkata, perubahan dasar yang dilaksanakan ketika zaman pemerintahan Mahathir itu juga merugikan rakyat dan menyebabkan ia terpaksa diwarisi oleh rakyat sekarang ini.

“Ini lah orang yang membuat dasar dan akhirnya merugikan rakyat, akhirnya kita mewarisi,” katanya.

Dalam pada itu, Hasbullah berkata, beliau juga tidak percaya dan yakin dengan janji calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan itu yang kononnya mahu membuat perubahan dasar jika berjaya menjadi Perdana Menteri semula.

Beliau juga berkata, perjuangan sebenar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan itu bukan untuk menyelamatkan rakyat, namun mahu menggulingkan individu yang tidak disukai beliau.

“Orang yang hidup mati dia di hujung usia, itu lah sistem yang dia bawa, macam mana nak selamatkan rakyat.

“Mereka bukan nak selamatkan rakyat, tapi mereka hanya mahu turunkan orang yang dia tak suka… itu sahaja, tapi sistem dan dasar mustahil, dia yang cipta dasar itu dia nak runtuhkan dasar dia balik,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *