PAS mahu ambil balik 3 DUN di Permatang Pauh pada PRU14

PULAU PINANG – Ketua Kawasan PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata parti Islam itu akan bertanding di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu parlimen dalam Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Beliau berkata inilah masanya untuk parti Islam itu mengambil balik kerusi berkenaan.

“”Kita akan bertanding di tiga DUN dan satu parlimen dalam Permatang Pauh.

“Kerusi Permatang Pauh adalah kerusi PAS yang disandang Zabidi Ali, jauh sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan inilah masanya untuk kita mengambil balik kerusi ini,” kata Omar.

Beliau berkata demikian pada program Amanat Presiden PAS ‘PAS Tawan Permatang Pauh’ di hadapan Masjid Jamek Kubang Semang, baru-baru ini.

Kerusi DUN tersebut adalah Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Pulau Pinang merupakan negeri bersejarah buat PAS kerana di negeri ini parti Islam itu ditubuhkan.

“Permatang Pauh juga istimewa buat kita, sebab bila kita kalah Kelantan pada 1979 selepas pengisytiharan darurat, selain kalah semua kerusi di Terengganu dan lain-lain, tapi kita menang kerusi di sini (Permatang Pauh) oleh Zabidi Ali pada 1978,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru pengundi Permatang Pauh memberi undi kepada parti Islam itu bagi memastikan kemenangan buat parti itu pada PRU-14 akan datang.

Sebelum ini, Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Hashim mengingatkan penduduk Permatang Pauh yang parti Islam itu pernah mempertahankan Anwar apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memecatnya pada 1998.

“Tapi Anwar sekarang dah berbaik dengan Dr Mahathir balik. Apa dah jadi dengan perjuangan anda untuk dia selama ini?” kata Muhammad.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Chen Guan menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai ketua menteri yang paling teruk.

“Lim patut letak jawatan bila dia dituduh beli banglo, tapi dia tak buat (letak jawatan). Dia jugak mungkin pegang rekod sebagai seorang yang paling banyak saman orang,” kata Huan.

Beliau berkata, jika dilihat rekod memimpin, hanya PAS dan UMNO sahaja yang boleh dipercayai.

Kerusi parlimen Permatang Pauh kini diwakili oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil yang diadakan pada Mei 2015 selepas penyandangnya Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen setelah Mahkamah Persekutuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun sebelumnya.

PAS bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi tersebut kepada PKR pada pilihan raya tahun 1999, manakala Anwar pula mula mewakili parlimen tersebut sejak 1982 atas tiket UMNO.

Pada 1999, Anwar tidak bertanding namum, isterinya Wan Azizah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh hingga 2008, sebelum mengosongkannya pada 2009 untuk memberi peluang kepada suaminya kembali menjadi ahli parlimen kawasan tersebut. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *