Pelajar sekolah jangan ghairah muatnaik video aksi sendiri di media sosial

Kebanjiran media sosial di internet seperti Facebook, Twitter, dan WhatsApp bukan lagi perkara asing lagi kepada pelajar sekolah. Malah, media sosial ini sudah menjadi seperti ‘makanan harian’ buat pelajar.

Tetapi, kebanyakkan pelajar yang menggunakan media sosial ini sering menyalahguna media sosial. Media sosial yang sepatutnya dijadikan sebagai tempat mendapatkan maklumat dengan pantas, perkongsian pelbagai maklumat, dan mengeratkan hubungan tetapi telah disalahguna oleh pelajar.

Sehubungan itu, pelajar diingatkan supaya tidak menyalahguna media sosial dengan terlalu ghairah memuat naik video yang tidak sepatutnya sehingga menjadi tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman memaklumkan terdapat pelajar memuatnaik video di media sosial sekadar untuk suka-suka namun tidak menyedari ia akan memberi kesan lain kepada mereka di kemudian hari.

Katanya, budaya tular ini menyebabkan kes jenayah semakin serius dalam kalangan pelajar. Antara video yang sering tular di media sosial adalah video kes buli.

“Kes jenayah yang berlaku di kalangan pelajar bukanlah berada di tahap serius tetapi budaya tular yang menyebabkan kes tersebut semakin serius. Sebenarnya kes tersebut hanyalah kes kecil dan apabila ditular akan mewujudkan rasa takut kepada jenayah di kalangan masyarakat.

“Contohnya kes buli, mereka macam dah rancang nak rakam dan sebagainya dan kita pun tak pasti rakaman tersebut dibuat untuk mengugut atau sebaliknya,” katanya.

Suffian berkata, masih ramai pelajar yang tidak mengetahui perbuatan merakam video tersebut adalah salah satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tambah Suffian lagi,apabila pelajar telah didedahkan bahawa perbuatan merakam video itu adalah satu kesalahan baru pelajar mula sedar.

Selain itu, Suffian menasihatkan agar pelajar untuk lebih berhati-hati jika menyebarkan sesuatu berita berbentuk video atau sebarang penulisan.

Jika pelajar menyebarkan video atau maklumat palsu yang membawa kepada keadaan seperti menganggu keharmonian masyarakat, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *