Pemandu Teksi di Perlis paling sedikit carum dengan Perkeso

Masih ramai pekerja yang tidak sedar tentang faedah mencarum di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SBKPS) kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Disebabkan itu masih terdapat ramai pekerja yang tidak mencarum dengan skim terbabit. Skim terbabit sebenarnya memberi pelbagai manfaat seperti faedah perubatan, hilang upaya kekal, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, jika pencarumnya ditimpa kemalangan.

Dilaporkan hanya 17 daripada 230 pemandu teksi berdaftar di Perlis hanya mencarum dengan Perkeso.

Pengurus Besar Bahagian SBKPS, Ismail Abi Hashim memaklumkan perkara itu berlaku kerana kesedaran tentang pentingnya mencarum itu sangat rendah dalam kalangan pemandu teksi.

Katanya, kadar caruman yang dikenakan kepada pemandu teksi sebenarnya tidak tinggi ia hanya mengikut jumlah pendapatan setahun.

“Kadar carumannya tidaklah tinggi dan pemandu teksi hanya perlu membayar di antara RM157.20 hingga RM592 bergantung kepada pendapatan yang telah diinsuranskan setahun,” katanya.

Ismail berkata, pencarum hanya perlu mencarum 1.25% daripada jumlah pendapatan yang diperolehi setahun.

Sehubungan itu, beliau menasihati kepada semua pemandu teksi untuk mendaftar di mana-mana pejabat Perkeso secepat mungkin demi untuk kebaikan mereka sendiri.

Katanya, untuk mendaftar di bawah skim terbabit tidak mempunyai sebarang tarikh tutup. Tetapi, jika mereka gagal mendaftar, tindakan undang-undang boleh dikenakan dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, seorang bekas kakitangan kontrak yang telah berkhidmat selama 14 tahun di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Perlis, Roslan Ismail telah menerima bantuan di bawah skim terbabit sebanyak RM1,516.67 sebulan selepas berhenti secara sukarela akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya.

Selain itu, bekas pekerja Syarikat Air Perlis (SAP), Hakimin Hasan turut mendapat bantuan sebanyak RM8,702.67 melalui Skim Faedah Hilang Upaya Sementara Perkeso akibat kecederaan di pergelangan kaki kanan selepas tergelincir di longkang ketika melakukan pekerjaan pembaikan dan pemasangan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *