Pengundi melayu tetap akan sokong UMNO dan PAS di PRU14

Selama ini Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa sokongan dan undi masyarakat Melayu terhadap gabungan pembangkang itu semakin meningkat. Namun dakwaan gabungan pembangkang itu hanya berdasarkan pendapat mereka sahaja tanpa sebarang fakta dan data.

Mungkin itu sebab pakatan pembangkang yang didominasi DAP terus mengkritik satu hasil kajian Merdeka Centre sebelum ini yang menunjukkan bagaimana undi masyarakat Melayu akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS menjelang pilihan raya umum (PRU-14) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Hasil kaji selidik agensi tersebut juga menunjukkan bahawa pengundi orang Melayu lebih percaya dan yakin kepada BN serta PAS berbanding gabungan pembangkang itu. Walaupun gabungan pembangkang kini memiliki blok politik yang semakin besar dengan komponen yang bertambah.

Namun itu tidak menjamin mereka mendapat sokongan kuat terutama dari kalangan orang Melayu. Ini kerana pakatan pembangkang itu perlu sedar dan ingat bahawa ada beberapa faktor yang akan menolak Pakatan itu daripada mendapat sokongan masyarakat Melayu dalam PRU-14 akan datang.

Pakatan Harapan itu patut sedar bahawa ramai masyarakat Melayu sangat sensitif dengan isu berkaitan survival bangsa dan agama mereka di negara ini. Di tambah pula, mereka melihat agenda Melayu dan Islam mula terhakis dengan beberapa kejadian yang tidak diingini sejak akhir-akhir ini.

Ramai yang yakin dan percaya hanya BN dan PAS sahaja yang mampu memperjuangkan dan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Meskipun UMNO terus mengekalkan toleransi agama dan kaum dengan parti-parti komponen lain seperti MCA dan MIC, bagaimanapun parti itu tetap tidak goyah dan terus memperjuangkan serta mempertahankan dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Jangan lupa UMNO juga merupakan antara pihak yang paling ke hadapan dalam mempertahankan dan memperjuangkan nasib saudara Islam di setiap pelusuk dunia terutamanya dalam isu Palestin dan Rohingya di Myanmar. UMNO dan PAS telah membuktikan bahawa kedua-dua parti itu boleh bekerjasama bagi tujuan yang murni ini.

Malah, UMNO dan PAS jugalah yang paling ke hadapan dalam menentang terhadap beberapa isu seperti penganjuran minuman keras, budaya LGBT dan penyebaran fahaman ateisme.

Malangnya, masyarakat Melayu dan Islam tidak dapat melihat tindakan setegas ini diambil oleh parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan, PKR, PAN bahkan PPBM. Jika ada pun, ia dilihat terlalu berhati-hati dan berlapik, ia seolah-olah menunjukkan mereka cuba menjaga hati pihak-pihak tertentu yang rakyat sendiri sudah maklum.

Justeru, ini sejajar dengan dapatan hasil kajian Merdeka Center itu yang menunjukkan pengundi kaum itu lebih bimbang berhubung hak mereka meliputi isu kedudukan Islam, peranan mereka dalam hala tuju ekonomi dan politik negara.

Atas kesedaran inilah, masyarakat Melayu melihat hanya BN-UMNO dan PAS sahaja yang mampu dan boleh diharap bagi memperjuangkan dan mempertahankan agenda agama dan bagsa mereka.

PAS mungkin tidak ada peluang untuk membentuk kerajaan apabila parti Islam itu bertegas untuk bersendirian pada PRU kali ini. Bagaimana, setidak-tidaknya undian orang Melayu untuk parti Islam itu boleh ‘menyelamatkan’ negara daripada jatuh ke tangan Pakatan Harapan yang jelas tidak sensitif terhadap isu-isu yang berhubung dengan Islam dan Melayu di negara ini.

Walaupun Pakatan Harapan begitu yakin yang kononnya pakatan pembangkang itu kini menikmati sokongan yang semakin bertambah dalam kalangan masyarakat Melayu, namun mereka dalam sedar atau tidak sedar bahawa mereka juga sebenarnya telah beberapa kali mengakui gabungan pembangkang itu berdepan dengan tugas yang sukar untuk menimbulkan tsunami Melayu pada PRU-14 akan datang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *