Penjenayah siber sentiasa cari peluang untuk perdayakan mangsa

Sejak penggunaan teknologi internet secara meluas, penjenayah siber juga sering menjadi antara masalah yang dihadapi oleh para pengguna media sosial.

Walaupun pihak berkuasa telah banyak mendedahkan taktik yang dilakukan oleh penjenayah siber agar tidak mudah terpedaya tetapi ada sahaja mangsa yang tertipu.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Ahmad Noordin Ismail mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati agar tidak terperangkap sehingga menjadi mangsa kepada penjenayah siber.

Katanya, jika pengguna mengamalkan sikap berhati-hati dalam melayari media sosial pastinya penjenayah siber sukar untuk mencari ruang mempedayakan mangsa.

“Sebaiknya jangan mudah percaya terutama kenalan baharu yang kemungkinan besar akan menjadikan anda sebagai mangsa terbaharu,” katanya.

Selain itu, Ahmad Noordin menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati memilih ‘kawan baru’ di media sosial kerana penjenayah siber sanggup lakukan apa sahaja untuk memperdaya mangsa.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu menggunakan kata laluan yang lebih selamat untuk akaun di media sosial mereka mengelakkan ia mudah dikesan oleh penjenayah siber.

“Janganlah guna huruf seperti ABC atau tarikh 1,2,3 atau yang sangat berkaitan dengan diri seperti tarikh lahir kerana semua ini akan mudah dikesan penjenayah ini,” katanya.

Sementara itu, katanya tindakan sesetengah pengguna media sosial yang selalu mendedahkan kekayaan dan tempat percutian juga boleh mengundang padah.

Penjenayah siber akan mengesan pergerakan pengguna media sosial terbabit dan menyusun langkah untuk melakukan rompakan atau sebagainya.

“Penjenayah siber akan mengesan pergerakan mangsa menggunakan maklumat ini untuk melakukan rompakan, peras ugut dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, tidak salah pengguna mahu berkongsi tentang kehidupan di media sosial tetapi jangan sampai terlalu terbuka sehingga semua perkara mahu dikongsikan dan didedahkan kepada pengguna media sosial lain.

Pelayar Internet ini memang memudahkan orang ramai tetapi jangan terlalu taksub sehingga anda menjadi salah seorang mangsa penjenayah siber. Mereka boleh berada di mana-mana sahaja tanpa disedari oleh orang lain dan berusaha untuk mencari peluang mempedaya anda. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *