Penolakan dari Istana ranapkan impian Mahathir untuk jadi PM semula

Sudah maklum Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai cita-cita yang amat tinggi. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri semula dengan membawa Pakatan Harapan yang dikuasai DAP membentuk sebuah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah satu cita-cita yang beliau sendiri tahu dan sedar bahawa terlalu sukar untuk dilakukan.

Ini kerana mantan bekas perdana menteri itu terpaksa membawa satu gabungan pembangkang yang jelas kacau-bilau dan tidak teratur. Selain itu, Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berdepan dengan kekurangan keyakinan dari rakyat yang ramai tetap mengingati apa yang telah berlaku kepada mereka sepanjang tempoh Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Walau apa pun, rintangan yang paling besar yang perlu dilalui ‘Top Dog’ Pakatan itu dan gabungan pembangkang itu adalah meyakinkan pihak istana bahawa Pengerusi PPBM itulah yang layak dipilih oleh Pakatan Harapan sebagai calon Perdana Menteri gabungan pembangkang itu.

Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa bekas perdana menteri keempat itu mengalami krisis dengan tiga istana iaitu Istana Johor, Istana Selangor dan Istana Kelantan yang mana Paduka Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V kini menjadi Yang DiPertuan Agong.

Jadi, bagaimana Pakatan Harapan dan Mahathir ingin meyakinkan pihak istana bahawa beliau merupakan calon paling sesuai dan layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu jika dilihat situasi ketika ini?

Lupakah Pakatan Harapan dan Pengerusi Pakatan itu bahawa mereka perlu menghadap kepada Kebawah Duli Tuanku untuk mempersembahkan nama yang bagi mereka layak untuk dipilih menjadi sebagai Perdana Menteri?

Ditambah pula, Duli Yang Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agong kini adalah Sultan Kelantan yang mana Baginda sendiri menitahkan untuk Mahathir memulangkan semula pingat kebesaran negeri yang dianugerahkan kepadanya.

Ini adalah isyarat yang jelas boleh dilihat di mana pihak Istana Negara telah menolak sebarang usaha untuk memilih Mahathir kembali memegang jawatan nombor satu negara itu.

Ketegasan Paduka Sultan Muhammad V sudah diketahui rakyat khususnya rakyat negeri Kelantan, dalam membuat keputusan. Jadi, ia boleh dikatakan terlalu sukar buat Pengerusi PBM itu meyakinkan kesemua sembilan orang Sultan bahawa beliau merupakan calon sesuai dan paling layak untuk menjadi Perdana Menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya memenangi PRU-14 nanti.

Kesimpulannya, penolakan dari istana meranapkan impian Mahathir untuk jadi Perdana Menteri semula. Rakyat tidak perlu memeningkan kepala untuk memikirkan kemungkinan Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi, sebaliknya lebih baik rakyat memilih Barisan Nasional (BN) yang jelas mempunyai kemampuan untuk mentadbir negara dengan baik dan juga menjalinkan kerjasama yang baik dengan pihak istana. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *