Penubuhan Tribunal aduan, bantu bela nasib pesawah

Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, telah mencadangkan untuk menubuhkan Tribunal Aduan Untuk Pesawah bagi menyelesaikan masalah seperti pemotongan gred padi oleh pengilang.

Selain itu, tribunal itu juga memudahkan pesawah untuk membuat aduan sekiranya pengilang yang gagal untuk mengikut SOP. Tribunal ini dilihat dapat membantu membela nasib pesawah yang ditindas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Othman Aziz memaklumkan jika penubuhan tribunal ini direalisasikan ia dapat membantu pesawah untuk meminta pampasan dari pengilang jika mereka ditindas.

“Kalau ada tribunal ini pesawah boleh minta pampasan daripada pihak pengilang atau pembekal padi misalnya sekiranya aduan dibuat itu betul dan mengikut fakta…barulah suara petani itu dapat didengari dan dibela,” katanya.

Beliau berkata, cadangan untuk mewujudkan tribunal bagi menyelesaikan pelbagai masalah seperti masalah pesawah yang mendapat bekalan benih padi yang tidak sah, kelewatan mendapatkan bekalan baja, serta masalah kualiti input pertanian yang dibekalkan amatlah disokong olehnya.

Katanya, tribunal itu antara langkah baik yang boleh dilakukan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku kepada pesawah apabila pengilang mengambil kesempatan kepada pesawah.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) turut bersetuju dengan cadangan wujudkan tribunal aduan terbabit dan berharap kerajaan dapat segera diwujudkan agar dapat menyelesaikan masalah yang timbul antara pengilang dan pesawah

Yang Dipertuanya, Mohamad Termizi Yop, memaklumkan tribunal ini juga adalah medium terbaik untuk pihak pengilang menjelaskan mengapa mereka membuat pemotongan antara 20 hingga 26 peratus.

“Tribunal ini adalah medium terbaik untuk memberi penerangan secara jelas kenapa kami membuat pemotongan antara 20 hingga 26 peratus. Ia sebenarnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk menjamin kualiti beras,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *