Penurunan jumlah pendaki, China ubah ketinggian Gunung Everest

BEIJING – China menafikan laporan ia mengubah ketinggian Gunung Everest susulan penurunan jumlah pendaki yang mahu menawan puncak tertinggi dunia itu dari bahagian Tibet.

Dalam temu bual dengan agensi berita Xinhua, seorang pegawai dari Jabatan Ukur, Pemetaan dan Geoinformasi kebangsaan berkata, Beijing berpegang teguh bahawa ketinggian Gunung Everest ialah 8,844.43 meter seperti direkodkan pada 2005.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada laporan The New York Times yang memetik pakar Nepal sebagai berkata Beijing mengubah jarak ketinggian puncak gunung tersebut tahun lalu.

“Ukuran yang dibuat pada 2005 adalah tepat dari segi saintifik dan undang-undang…dan telah digunakan sebagai standard kebangsaan,” katanya.

Gunung Everest yang terletak di banjaran Himalaya antara sempadan Nepal dan China itu pada dasarnya dianggap sebagai puncak tertinggi dunia, walaupun angka tepat ketinggiannya menjadi perdebatan banyak pihak.

Jumlah ketinggian rasmi Gunung Everest yang dikenali sebagai Sagarmatha di Nepal dan Qomolangam di Tibet adalah 8,848 meter, iaitu jarak yang direkodkan oleh pengkaji India pada 1954.

Walaupun pelbagai kumpulan cuba mengukur jarak ketinggian puncak itu, namun jarak yang dicatatkan pada 1954 masih diiktiraf secara rasmi. – International Edition

Sumber – sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *