Penyebar berita palsu di media sosial akan tanggung dosa sebagai pemfitnah

Isu melibatkan penyebaran maklumat palsu di media sosial memang semakin berleluasa. Segelintir masyarakat negara ini seperti berlumba-lumba menyebarkan maklumat yang diperolehi tanpa mengetahui kebenaran maklumat terbabit.

Penyebaran maklumat palsu yang tidak sahih kepada pengguna media sosial memang tidak boleh diterima umum. Malah, disebabkan penyebaran maklumat palsu ini juga menjadi fitnah kepada pihak yang tidak bersalah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata mana individu khususnya umat Islam yang menyebarkan berita palsu atau tidak sahih akan menanggung dosa sebagai pemfitnah.

Beliau berkata, bukan sahaja penyebar berita tidak sahih menanggung dosa, malah mereka yang menerima dan membaca berita itu juga berdosa.

Katanya, sudah dinyatakan dalam al-Quran memfitnah lebih buruk daripada membunuh.

“Ia juga merupakan dosa bagi mereka yang menerima dan membaca berita yang tidah benar di media sosial. Berita dan sumber perlu disahkan terlebih dahulu.

“Penyebaran berita palsu adalah kesalahan serius, dan dinyatakan dalam al-Quran, di mana memfitnah lebih buruk daripada membunuh,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, perbuatan memfitnah ini bukan sahaja melibatkan ramai orang bahkan keseluruhan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam lebih utamakan menjaga kebajikan orang lain. Kerana fitnah yang tersebar memberikan kesan buruk pada masyarakat.

“Oleh itu, apa yang lebih utama dalam Islam adalah menjaga kebajikan orang lain, kerana jika fitnah tersebar, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Shukri juga menyokong langkah yang diambil oleh kerajaan menubuhkan undang-undang untuk mencegah penyebaran berita palsu.

“Langkah itu mesti disokong semua pihak kerana dunia tanpa sempadan hari ini, sukar untuk menghentikan penyebaran berita palsu.

“Dengan adanya undang-undang tersebut, ia boleh mengubahnya,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *