Perancis akan lancarkan serangan ke atas Syria

PARIS – Perancis akan me­lancarkan serangan ke atas Syria jika rejim Presiden Bashar Al-Assad terbukti menggunakan sen­jata kimia terhadap rakyatnya sendiri, kata Presi­den Emmanuel Macron kelmarin.

“Kami akan menyerang tempat di mana serangan kimia itu dilancarkan atau lokasi serangan itu dirancang.

“Namun buat masa ini, ka­mi belum mendapat bukti ba­hawa senjata kimia yang diharamkan konvensyen antarabangsa telah digunakan terhadap populasi awam,” kata­nya pada satu sidang akhbar.

“Sebaik sahaja bukti ini wujud, sa­ya akan melakukannya (serang Syria). Saya akan mengotakan apa yang saya cakap,” katanya.

Namun kata Macron, ke­uta­maan sekarang adalah memera­ngi pengganas di negara bergolak itu.

Ketika diminta mengulas tentang kedudukan rejim Bashar, sama ada se­ma­sa atau selepas perang di Syria, beliau berkata: “Mere­ka akan berdepan keadilan antarabangsa.”

Dalam perbualan telefon de­ngan rakan sejawatnya dari Ru­­­sia, Vladimir Putin pada Jumaat la­lu, Macron menyuarakan kebim­bangan berhubung petun­juk yang membayangkan gas klo­rin telah digunakan untuk menyerang penduduk awam Syria sejak beberapa ming­gu lalu.

Moscow memihak kepada rejim Syria dalam perang saudara selama tujuh tahun itu, manakala Putin dilihat sebagai pemimpin asing paling ber­pengaruh ke atas Bashar.

Sementara itu, Washington ber­­­­­kata, sekurang-kurangnya enam serangan gas klorin di­la­porkan di kawasan yang dikuasai pemberontak sejak awal Januari lalu, mengakibatkan berpuluh-puluh orang cedera.

Pada akhir bulan lalu, rejim Ba­­shar menafikan melancarkan sebarang serangan kimia, ma­na­­kala sekutunya, Moscow pula menolak dakwaan Barat itu sebagai ‘kempen propaganda’.

Kremlin berkata, pihak yang me­lancarkan serangan itu masih belum dapat dikenal pasti. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *