Pesawat terhempas akibat kegagalan sistem anti-ais pada enjin

Moscow: Selain faktor sabotaj, penyiasat sedang menilai kemungkinan kerosakan sistem nyah ais menyebabkan kegagalan enjin pesawat Antonov – An 148 kerana diliputi ais.

Timbalan presiden persatuan juruterbang Russia, Alfred Malinovsky, berkata pesawat itu mungkin terhempas akibat kegagalan sistem anti-ais pada enjin.

“Letupan pesawat itu mungkin disebabkan ais. Cuaca ketika kejadian amat sejuk dengan suhu bawah paras beku. Kelembapan pula tinggi,” katanya.

Daily Mail melaporkan, menurutnya, jika sistem anti-ais tidak berfungsi, ais boleh masuk ke dalam enjin dan menyebabkan letupan.

“Lubang besar di lokasi pesawat terhempas menunjukkan pesawat itu jatuh menegak dan kru tidak sempat bertindak balas,” katanya kepada media Russia.

Selain itu, juruterbang pesawat dipercayai berusaha melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang jauh dari penempatan bagi mengelak kemusnahan dan kematian orang awam.

Tiada panggilan kecemasan dibuat juruterbang dan perhubungan radio terputus empat minit selepas pesawat berkenaan berlepas. Pesawat itu hilang dari radar dua minit selepas berlepas.

Pasukan penyiasat sudah menemui kedua-dua kotak hitam pesawat.

Pesawat itu yang membawa 65 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, Moscow, ke Orsk di Urals.

Antara yang terbunuh dalam nahas itu ialah kanak-kanak perempuan lima tahun dan ibunya antara 71 korban nahas pesawat Antonov-An148 dekat Moscow, Russia, kelmarin.

Nadezhda Krasova, 5, adalah mangsa termuda nahas itu bersama ibunya, Oksana Krasova, 32, selepas pesawat penerbangan domestik milik Saratov Airlines itu terbakar di udara sebelum terhempas.

Turut disahkan maut, pramugari Anastasia Slavinskaya, 29, dan Viktoria Koval, 21, serta juruterbang kedua, Sergey Gambaryan, 34.

Mangsa lain yang dikenal pasti ialah Ulyana Son, 28, Kriskentia Alexeenko, 25, dan Doktor Lyudmila Kovchuga, 53.

Menurut Gabenor wilayah Orenburg, iaitu destinasi pesawat terbabit, lebih 60 penumpang adalah penduduk wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, sumber Russia menyatakan ada rakyat asing, termasuk dari Switzerland, Azerbaijan dan Kazakhstan dalam penerbangan itu.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *