Polis Iran tahan 100 pengurup mata wang

POLIS Iran menahan kira-kira 100 pengurup mata wang hari ini, ketika negara itu bertungkus lumus menyokong rial yang sudah susut hingga suku nilainya sejak enam bulan lalu.

Video stesen televisyen kerajaan, IRINN menunjukkan puluhan pengurup wang yang kebiasaannya menjalankan perniagaan di tepi jalan dekat kedutaan British di tengah Tehran ditahan polis.

Mata wang Iran susut daripada 38,400 rial berbanding dolar pada Julai lalu kepada paras rekod terendah 48,400 hari ini.

Menurut laporan media Iran, Ketua Polis Tehran, Jeneral Hossien Rahimi, berkata 10 pejabat pengurup mata wang sudah ditutup.

Perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia yang menyaksikan banyak sekatan antarabangsa ditarik balik, meningkatkan harapan nilai mata wang Iran meningkat.

Pada hari ia diumumkan, ramai warga Tehran gembira sambil melambaikan duit dolar bersama 10,000 rial.

Ia menunjukkan harapan mereka bahawa nilai mata wang itu akan kembali sebelum sekatan diterajui Amerika Syarikat pada 2012.

Sebaliknya, mata wang itu terus susut terutamanya selepas pemerintahan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam membatalkan perjanjian nuklear itu.

Bagaimanapun, kejatuhan terbaru nilai mata wang itu mungkin kesilapan Iran sendiri.

“Kerajaan bertanggungjawab terhadap peningkatan dolar,” kata seorang pengurup.

Menurutnya, kerajaan sendiri menjual dolar pada harga 48,800 rial semalam, disebabkan kesukarannya menukar dolar yang diperoleh hasil jualan minyak dan gas di luar negara.

Faktor lain ialah keputusan bank pusat Iran menurunkan kadar faedah pada September lalu.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *