Program Jualan Sentuhan Rakyat bantu kurangkan kos sara hidup rakyat

Program Jualan Sentuhan Rakyat adalah salah satu inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Program terbabit dilakukan bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk memperolehi barang keperluan harian pada harga yang murah dan berkualiti.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjelaskan program itu tidak hanya terhad kepada agensi kerajaan sahaja seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata, program itu dibuka kepada mana-mana peniaga yang boleh menjual barang keperluan harian dengan harga yang murah berbanding pasaran.

Katanya, pasar raya besar juga digalakkan untuk menyertai program Jualan Sentuhan Rakyat terbabit dalam usaha sama membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Memandangkan kita tidak mengenakan bayaran atau sewa tapak kepada peniaga, saya mahu mengajak mana-mana peniaga terutama yang besar untuk turut serta menawarkan barang pada harga mampu milik.

“Setakat ini, sambutan dalam kalangan rakyat sangat bagus bukan saja mendapatkan barang dijual lebih murah tetapi lebih segar dan berkualiti. Ini selaras dengan tujuan asal program ini,” katanya.

Johari berkata, program itu adalah anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Harga yang dijual adalah lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Program itu nanti akan dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Kita mahu lihat bagaimana sambutan orang bandar terhadap produk pertanian dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, program Jualan Sentuhan Rakyat ini dilihat menerima sambutan cukup menggalakkan oleh orang ramai. Terdapat banyak barang keperluan yang habis dijual kerana ramai pengunjung yang datang awal.

Antara barang keperluan yang dilihat mendapat sambutan yang luar biasa antaranya adalah ayam segar dan minyak masak.

Pengunjung juga berpuas hati dengan tawaran yang cukup berbaloi dan menyifatkan program terbabit antara salah satu langkah baik dilakukan kerajaan serta berharap jualan seperti itu akan diteruskan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *