PTPTN ‘hadiahkan’ pembiayaan RM1.47 bilion kepada 48 ribu pelajar cemerlang

Sejak 1998 sehingga kini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan, terdapat ‘pendidikan percuma’ yang diberikan pihak PTPTN kepada peminjam.

Dilaporkan sepanjang tempoh 20 tahun penubuhan perbadanan itu, ramai 48,811 peminjam PTPTN telah mendapat pendidikan percuma kerana dikecualikan daripada membayar balik pembiayaan berjumlah RM1.47 bilion kerana telah memperolehi keputusan cemerlang dalam pengajian masing-masing.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, memaklumkan di Kelantan seramai 2,445 peminjam PTPTN telah mendapat ‘hadiah’ yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam usaha membantu rakyat untuk menyediakan pendidikan percuma jika memperolehi keputusan cemerlang.

“Pendidikan percuma menerusi PTPTN ini disediakan sejak 1998 hingga kini. Ia semestinya memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Kita beri pendidikan percuma kepada pelajar cemerlang supaya mereka di luar sana lebih bersikap berdaya saing untuk mendapatkan kemudahan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Abdul Ghaffar berkata, pihak PTPTN telah menyediakan pinjaman kepada hampir 2.81 juta pelajar yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM51.9 bilion telah diperuntukkan.

Katanya, tahun ini kerajaan melalui PTPTN telah memberikan Geran Sepadan secara percuma dengan memperuntukkan dana sebanyak RM250 juta kepada 500,000 ibu bapa yang terawal membuat simpanan SSPN1M untuk anak berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Ibu bapa hanya perlu membuat simpanan bersih sekurang-kurangnya RM500 pada tahun ini dan akan diberikan deposit percuma berjumlah RM500. Setakat ini, seramai 44,200 ibu bapa sudah membuka simpanan itu. Kita berharap ibu bapa lain segera tampil berbuat demikian bagi mendapatkan sumbangan RM500 itu.

“Semenjak SSPN1M diperkenalkan 2004, ramai mulai sedar kepentingan menabung memandangkan skim ini adalah pelan yang terbaik. Ini terbukti bilangan yang membuka akaun bertambah. Sehingga 31 Disember tahun lalu, 3.2 juta akaun dibuka dengan deposit berjumlah RM3.37 bilion,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *