Pulau peranginan Boracay ditutup dipenuhi najis

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan tutup pulau peranginan popular Boracay kerana keadaan terlalu kotor akibat perairannya dipenuhi najis dari pusat pelancongan di situ.

Pemimpin itu memberi tempoh enam bulan kepada Setiausaha Alam Sekitar Roy Cimatu untuk pihak berkuasa menyelesaikan masalah itu dan memberi amaran tidak teragak-agak menutupnya untuk menjaga kesihatan dan keselamatan jutaan pelancong yang mengunjunginya.

“Saya akan menutup Boracay. Ia sudah menjadi penakung najis.

“Airnya terlalu busuk. Bau apa? Najis. Kerana semuanya dari Boracay,” katanya ketika forum perniagaan di kediamannya di Davao.

Transkrip rasmi forum itu didedahkan istana presiden, kelmarin.

Pegawai jabatan pelancongan mengakui pandangan Duterte itu yang mengetengahkan masalah pembetungan yang semakin teruk di pulau yang terkenal dengan pasir putih dan air jernihnya.

Setiausaha Pelancongan Wanda Teo berkata dalam satu kenyataan, “Sayangnya Boracay, yang berulang kali dipuji majalah percutian berprestij sebagai pulau terindah dunia, mungkin hilang statusnya sebagai syurga pelancong jika pencemaran perairannya berterusan.”

Sementara itu, jurucakap jabatan Ricky Alegre berkata beberapa premis melepaskan sisa kumbahan terus ke laut.

“Ada segelintir premis yang secara haram mengalihkan saluran kumbahan mereka.

“Daripada 150 premis perniagaan yang baru diperiksa pihak berkuasa kebelakangan ini, cuma 25 yang mempunyai saluran kumbahan sewajarnya,” katanya kepada AFP.

Selain itu katanya, banyak premis turut dibina terlalu hampir dengan kawasan pantai, malah ada yang menceroboh ke atas jalan di sekitar pulau seluas 1,000 hektar itu.

Boracay menarik lebih dua juta pelancong setahun dan meraih kira-kira 56 bilion peso (RM4.3 bilion) setahun, kata sumber dalam industri itu.

Duterte memberi amaran keadaan itu mampu menjadi bencana alam sekitar dan ‘tragedi’ yang akan mengusir pelancong dari pulau yang terletak kira-kira 190 kilometer ke selatan Manila.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *