Rakyat P.Pinang harus nilai pencapaian rasuah antara Guan Eng dan pemimpin Gerakan

Tidak pernah pemimpin parti Gerakan terbabit dalam isu berkaitan rasuah sepanjang tempoh 39 tahun mentadbir negeri Pulau Pinang, namun ini jauh berbeza dengan pemerintahan sekarang yang baru 10 tahun penuh dengan skandal rasuah termasuk Ketua Menteri negeri itu sendiri terlibat dalam skandal rasuah.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, rekod itu jauh berbeza dengan pemerintahan sekarang.

“Sekarang mana-mana pun rasuah dan berlaku penyelewengan kuasa, daripada pembelian rumah banglo hinggalah kepada pembinaan terowong dasar laut,” katanya sambil menyindir Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat parti Gerakan, semalam.

Beliau juga berkata, rakyat Pulau Pinang sendiri boleh menilai berdasarkan kepimpinan di bawah kerajaan DAP sepanjang tempoh 10 tahun di negeri berkenaan.

Sudah maklum, perbicaraan kes rasuah melibatkan Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran ditetapkan selama 23 hari bermula 26 Mac ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil 40 saksi.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Guan Eng, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai, 2014 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn, di sini pada 28 Julai, 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Phang yang juga presiden Magnificent Emblem turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Lim dalam pembelian rumah di Jalan Pinhorn itu daripadanya pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran atau RM4.27 juta.

Begitu juga dengan isu ketika ini yang sedang hangat diperkatakan ramai pihak berhubung isu projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isu projek terowong dasar laut itu semakin hangat diperkatakan selepas Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan membuat aduan kepada SPRM supaya menyiasat sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam pembidaan projek tersebut.

Projek terowong dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, isu ini menjadi lebih panas apabila penglibatan sebuah syarikat fesyen yang turut tersenarai dalam beberapa syarikat yang dianugerahkan tender projek tersebut. Ini mencetuskan banyak persoalan dan menimbulkan keraguan. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *