Remaja perempuan tikam rakan 19 kali akibat terpengaruh watak fiksyen internet

CHICAGO: Salah seorang daripada dua remaja perempuan yang mengaku salah menikam rakan mereka, dijatuhi hukuman tahanan selama 40 tahun di hospital sakit jiwa.

Mereka melakukan jenayah itu akibat terpengaruh dengan watak sebuah fiksyen internet.

Morgan Geyser dan Anissa Weier masing-masing berusia 12 tahun ketika kejadian, menikam Payton Leutner sebanyak 19 kali di sebuah kawasan hutan berdekatan rumah mereka di pinggir Milwaukee.

Bagaimanapun, Leutner terselamat dalam insiden itu.

Geyser dan Weier, kedua-duanya sudah berusia 15 tahun berkata, watak jahat dalam sebuah fiksyen internet dikenali sebagai ‘Slender Man’ benar-benar wujud.

Watak itu memaksa mereka melakukan pembunuhan atau ahli keluarga masing-masing menerima nasib buruk, jika arahan berkenaan tidak dipatuhi.

Hakim menjatuhkan hukuman tahanan selama 40 tahun di sebuah hospital sakit jiwa ke atas Geyser berbanding tahanan selama 25 tahun di pusat juvana seperti diminta peguamnya..

Peguam Geyser membuat permohonan itu bagi membolehkan remaja berkenaan dibebaskan dengan kawalan penyelia jika berkelakuan baik.

“Saya minta maaf. Saya tidak pernah berniat mahu kejadian seperti ini berlaku. Saya harap mangsa berada dalam keadaan baik sekarang,” kata Geyser sambil menangis ketika mendengar keputusan hakim.

Geyser dan Weier didapati bertindak melakukan jenayah itu kerana mengalami masalah mental.

Weier dijatuhkan hukuman tahanan di hospital sakit jiwa selama 25 tahun pada Disember lalu, selepas mengaku bersalah untuk tuduhan yang lebih ringan. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *