Remaja wanita maafkan ibu yang menculiknya ketika masih bayi

Florida: Remaja perempuan yang dilarikan dari hospital di Jacksonville, Florida, 19 tahun lalu, memaafkan wanita yang menculiknya ketika dia masih bayi kerana membesarkannya dengan baik seperti anak sendiri.

Remaja itu, Kamiyah Mobley berasal dari Carolina Selatan sebelum namanya ditukar menjadi Alexis Manigo, 19, berkata dia memaafkan ‘ibunya’ itu dan merayu mahkamah meringankan hukuman penjara terhadap ‘ibunya’ itu.

“Jangan salah anggap, bagi saya ia tetap perbuatan yang salah, namun kami berbincang mengenainya dan saya boleh memahami apa yang berlaku ketika itu.

“Saya simpati dengannya, tidak marah dan sudah memaafkannya. Saya pasti dia akan menerima hukuman namun berharap tidak terlalu lama.

“Saya harap hukuman lebih ringan kerana dia tidak menyeksa saya, malah menjaga saya dengan baik,” katanya.

Wanita terbabit, Gloria Williams, 52, menyamar sebagai jururawat di Hospital Universiti di Jacksonville, melarikan Kamiyah. lapan jam selepas dia dilahirkan pada 10 Julai 1998.

Menurut laporan Daily Mail, Gloria yang dituduh menculik dan berdepan hukuman penjara maksimum 22 tahun selain tuduhan menceroboh yang membawa hukuman penjara lima tahun lagi. Dia memilih untuk mengaku salah dan dijangka dijatuhkan hukuman Mei depan.

Wanita itu ditahan pada Januari tahun lalu, selepas Kamiyah mendapat tahu dia sebenarnya bukan dibesarkan ibu kandung.

Menurut dokumen mahkamah, penipuan Gloria terdedah ketika Kamiyah cuba mendapatkan pekerjaan di sebuah restoran, dua tahun sebelum wanita itu ditahan.

Tertuduh mengaku sendiri kepada ‘anaknya’ itu selepas dia gagal memberi nombor keselamatan sosial seperti diminta Kamiyah yang kemudian berusaha mengesan latar belakang dirinya melalui internet.

Kamiyah yang kini berusia 19 tahun, berjaya mengesan ibu bapanya, Shanara Mobley, 36, dan Craig Aiken, 42, yang berpisah selepas dia diculik.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *