Saiz dapur rumah Mukhriz bersamaan sebuah banglo!

Mantan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saaduddin mempersoalkan tindakan PPBM yang mahu menggunakan wang rakyat dengan melancarkan tabung derma untuk kegunaan gerak kerja parti Bunga itu, sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempunyai kekayaan yang amat luar biasa.

Bekas ketua Srikandi yang juga sayap wanita parti itu mendakwa saiz dapur rumah Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM itu bersamaan dengan sebuah banglo.

“Saya mula bertanyakan tentang dana parti. Saya pernah ke rumah Mukhriz Mahathir, ianya sebuah istana yang dapurnya sahaja sebesar banglo.

“Apabila saya selidiki dari mana datangnya wang yang begitu banyak untuk membina rumah sehebat ini, barulah saya ketahui bahawa beliau, memiliki 160 syarikat.

“Tidak lama kemudian ada pula yang membisikkan kepada saya bahawa jet peribadi Falcon 900LX itu dimiliki oleh anak Tun M.

“Saya terkejut tapi saya lebih terkejut apabila mendapat tahu bahawa Tun sendiri memiliki saham 50% dalam syarikat pembuat kapal terbang Jetfox!,” katanya dalam satu kenyataan.

Anina yang juga Presiden NGO Empirical Malaysia juga menyifatkan tindakan parti yang diterajui Mahathir itu amat memalukan dan sebagai cubaan ‘mengikis’ wang rakyat.

Beliau berkata, ia bertentangan dengan laungan parti PPBM sebelum ini bahawa rakyat menderita dengan dakwaan kos sara hidup.

“Saya bercakap sebagai pengasas PPBM dan sayalah yang menamakan sayap wanitanya sebagai Srikandi. Saya tahu apa yang anda tidak tahu.

“Dibelakangnya adalah kroni dan keluarga jutawan tetapi mereka kutip derma dari rakyat yang mereka sendiri dakwa sedang menderita akibat GST,” katanya.

Baru-baru ini, PPBM melancarkan tabung derma bagi membantu gerak kerja parti menjadi kerajaan baharu.

Menurut Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan pelancaran tabung derma itu, ini merupakan salah satu usaha bagi mecapai hasrat mahu membentuk kerajaan baharu menggantikan Barisan Nasional (BN) berjaya.

“Tabung Derma itu diwujudkan bertujuan membantu gerak kerja parti yang sedang dan terus dilakukan dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat dan penyertaan masyarakat umum bagi menjayakan impian menjadi kerajaan baharu terlaksana,” kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *