Sikap bertanggungjawab Polis Trafik di P.Pinang ini wajar dicontohi

Sebuah lori yang membawa pasir telah terbalik di Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan laluan di lebuh raya itu mengalami kesesakan lalu lintas terus menghala ke pulau.

Insiden yang berlaku pada Selasa lalu di KM7.6 akibat lori membawa muatan pasir itu melanggar pagar penghadang jalan sebelum terbalik.

Kemalangan itu menyebabkan pasir tumpah di kedua-dua aliran trafik sehingga menutupi jalan raya menyukarkan lagi kenderaan untuk melalui jalan terbabit.

Namun begitu, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan empat anggota polis trafik berusaha untuk membersihkan tumpahan pasir di Jambatan Pulau Pinang itu untuk memberi laluan kepada kenderaan melalui jalan terbabit.

Sikap bertanggungjawab polis trafik itu telah mendapat pujian netizen dan merasakan sikap itu wajar dicontohi oleh orang ramai.

Anggota polis trafik terbabit sebenarnya telah diberi arahan untuk mengawal lalu lintas dan menghantar laporan kepada bilik kawal sahaja. Tetapi, apabila melihat situasi kesesakan lalu lintas yang teruk itu empat anggota polis trafik itu mengambil keputusan untuk sama-sama membersihkan tumpahan pasir itu untuk mempercepatkan menyelesaikan kesesakan di atas jambatan.

“Kami melakukan apa yang perlu ketika itu bagi mengelak kesesakan biarpun tidak mendapat sebarang arahan.

“Kami membersihkan pasir berkenaan tanpa arahan daripada pegawai atasan.

“Jika muatan yang tumpah itu ais atau daging… ia mudah dialihkan. Namun, pasir…agak sukar untuk dibersihkan,” kata Koperal Azidin Ahamad, seorang daripada empat anggota polis trafik terbabit

Koperal Azidin Ahamad, Koperal Mohd Nazri Zainal Abidin, Koperal Mohd Zain Mohamed Nor dan Koperal Noor Ridzwan Mat antara anggota polis trafik yang menerima sijil penghargaan daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Selain itu, Azidin berkata dia memahami perasaan pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Disebabkan itu, saya dan rakan setugas meminta bantuan lori lain dengan meminjam penyodok tanah dan menggunakannya untuk membersihkan jalan sebelum membuka dua lorong untuk mengurangkan kesesakan.

“Ia mengambil masa sejam…kami lakukan tanpa arahan pegawai atasan dan tahu mungkin dikenakan tindakan. Namun, kami mahu melakuka yang terbaik kepada orang ramai,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *