Sila tinggal dalam hutan kalau tak tahu hormati hak jiran

Jiran adalah mereka yang tinggal berdekatan antara satu sama lain dalam satu komuniti. Apabila sudah hidup berjiran perlu mempunyai adab tersendiri antaranya tolong menolong, bertanggungjawab, persafahaman, toleransi dan menghormati antara satu sama lain.

Jika berlaku salah faham antara jiran cubalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu dengan berbincang dan bukanlah cuba untuk mengaibkan sesiapa.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang individu telah merakam jirannya yang menegur perbuatan si perakam yang masak di luar rumah sehingga kawasan kejiranan mengalami masalah pencemaran bau.

Perakam video itu kononnya mempertahankan haknya untuk masak di luar rumah dan mendakwa bau masakkan tersebut sudah dibawa oleh angin kerana telah memasang kipas ke arah lain.

Jiran terbabit telah menasihatkan perakam agar memasang kain kanvas di ruang tempatnya memasak agar tidak menyebabkan pencemaran bau di kawasan rumahnya.

Namun, perakam masih mempertahankan haknya dan menyifatkan mereka berada di pihak yang betul dan tindakan masak di luar rumah sehingga menyebabkan kawasan kejiranan terganggu dengan pencemaran bau adalah tidak salah.

Walaubagaimanapun, rata-rata netizen telah memihak pada jiran terbabit dan menyifatkan perakam sepatutnya sedar adalah menjadi kesalahan menganggu jiran dan sepatutnya masak di dalam rumah agar tidak menganggu jiran lain.

“Sekali dua bolehlah. Kalau dah hari-hari berangin juga. Ada ke suruh tutup tingkap pintu semua bila dia tengah masak? Hidup berjiran memanglah kena bertolak ansur tetapi asyik kita saja yang kena beralah pun susah. Asap makanan masuk bau melekat pada baju yang dijemur oleh jiran sebelah. Kalau waktu raya, kita boleh bertimbang rasa lagi,” katanya netizen.

Sementara itu, ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berharap sebagai umat Islam sepatutnya perkara seperti ini dapat dielakkan.

Beliau berkata, adap berjiran jika mahu masak di luar rumah sehingga bau masuk ke rumah jiran, adalah perlu untuk meminta izin jiran dahulu.

“Mereka sepatutnya selesai sama jiran dan tidak perlu hebahkan kepada orang lain, apatah lagi sampai jadi tular.

“Kalau nak masak (di luar rumah) sehingga baunya masuk ke rumah jiran, kena minta izin daripada jiran tersebut,” katanya.

Ahmad Fauwaz berkata, tindakan jiran merakam video untuk tujuan memalukan jiran juga sepatutnya tidak dilakukan dan dilarang dalam agama.

Apapun, hidup berjiran ini perlulah saling bertolak ansur. Jangan hanya mengharapkan jiran sahaja yang perlu bertolak ansur dengan anda. Tidak salah berbincang secara baik dengan jiran dan dengar nasihat yang diberikan oleh jiran agar masalah yang berlaku dapat diselesaikan.  –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *