Skandal Terowong Dasar Laut DAP terus diselubungi misteri

PULAU PINANG – Pemuda UMNO Pulau Pinang menyifatkan skandal pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang terus diselubungi misteri.

Ini kerana, kata Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Jasmin Noordin, wujudnya perundingan dan persetujuan yang ‘pelik’ antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan syarikat kontraktor yang terlibat dalam projek mega DAP berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah menimbulkan kecurigaan dan banyak persoalan yang sehingga kini masih tidak terjawab oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, urusan pembinaan projek mega DAP ini pada awal-awal pengumumannya pun telah mencetuskan banyak persoalan, apatah lagi selepas terdedah maklumat bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menyelesaikan bayaran projek kepada syarikat kontraktor walaupun projek berkenaan hanya akan dimulakan pada 10 tahun akan datang.

“Antara yang pelik dalam urusan pembinaan terowong ini ialah, bagaimana kerajaan negeri boleh membayar secara penuh kos pembinaan terowong tersebut kepada syarikat kontraktor tersebut, sedangkan projek pembinaan terowong itu dijadualkan pada tahun 2023, iaitu 10 tahun akan datang.

“Bukan setakat itu sahaja, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan konsesi tol selama 30 tahun yang jelas akan memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada syarikat terbabit”, katanya.

Dalam pada itu, Jasmin juga turut mempersoalkan apa akan berlaku jika perancangan dan laluan membina terowong dasar laut itu tidak lagi sesuai dalam masa 10 tahun akan datang.

Katanya, kemungkinan berlakunya perubahan struktur tanah bawah laut dan sebagainya pada ketika itu.

“Begitu juga dengan kos. Apakah tidak ada sebarang peningkatan kos pembinaan terowong tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang?

“Dalam pada itu, apakah kerajaan DAP fikir mereka akan kekal selama dua penggal lagi memerintah Pulau Pinang. Jika mereka tidak lagi memerintah Pulau Pinang, dan kerajaan baru pula tidak bersetuju untuk melaksanakan projek itu pada tahun 2023, bagaimana dengan wang rakyat sejumlah RM 305 juta itu?

“Apakah wang tersebut dapat dikembalikan semula ke kantung kerajaan negeri?Persoalan-persoalan seperti ini tidak dijawab secara jelas oleh Ketua Menteri, sebaliknya jawapan beliau lebih banyak kepada putar belit politik yang cuba menyalahkan pihak kerajaan.

“Jadi tidak hairanlah rakyat menuntut jawapan daripada kerajaan negeri berhubung isu terowong ini, kerana bukan sikit duit rakyat yang digunakan dalam perancangan membina terowong tersebut,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, skandal terowong dasar laut ini menjadi bukti menunjukkan kepincangan pentadbiran di bawah kerajaan DAP yang dilihat tidak telus dengan melakukan keputusan yang pelik.

Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, serta tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sesuka hati dalam membelanjakan ratusan juta ringgit wang rakyat.

“Pembayaran yang dibuat dilihat agak tergesa-gesa, seolah-olah ada pihak tertentu yang mahu mendapat keuntungan yang cepat daripada projek ini.

“Sebab itu, SPRM mempunyai alasan yang kuat untuk menyiasat projek pembinaan terowong ini wujudnya kemusykilan yang menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan hal ini.

“Hari ini rakyat telah dapat melihat betapa lemah dan gagalnya beliau dan gerombolannya mentadbir negeri ini,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *