SL1M tingkatkan peluang Graduan untuk mendapatkan pekerjaan

Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) telah dilancarkan pada 1 Jun 2011. Program ini ditubuhkan adalah salah satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu graduan menganggur dalam meningkatkan tahap kebolehpasaran dan keupayaan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya memudahkan lagi peluang graduan untuk mendapat pekerjaan.

Memang sudah menjadi perkara biasa buat majikan yang ingin mencari pekerja yang mempunyai ‘pengalaman bekerja’. Perkara ini pastikan menyukarkan graduan baru tamat pengajian untuk mendapat pekerjaan tersebut kerana tidak mempunyai sebarang ‘pengalaman bekerja’.

Sehubungan itu, graduan yang menyertai SL1M boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan menjalani latihan sambil bekerja.

Tetapi, terdapat graduan yang memandang rendah dengan program SL1M ini dengan menyifatkan program ini hanya sebagai latihan tambahan dan diberi elaun yang rendah.

Sebenarnya, graduan akan diberi sepenuh peluang untuk merasai sendiri segala pahit manis dunia pekerjaan sebenar. Malah, pelatih juga dapat menimba pelbagai pengalaman dan juga kemahiran sepanjang menjalani latihan di syarikat dan organisasi besar.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata jangan memandang rendah dengan program ini dan meletakkan cita-cita diberikan elaun yang tinggi sebagai graduan universiti.

“Ada graduan memandang rendah terhadap program ini dengan menganggap ia semata-mata latihan tambahan elaun yang diberi juga rendah.

“Mereka berpendapat sebagai graduan universiti, elaun untuk mereka sekurang-kurangnya RM3000 sebulan. Bagi saya cita-cita mereka ini terlalu besar sehingga terkeluar daripada kotak realiti, ” kata Norashikin.

Sementara itu, sepanjang pelaksanaan program itu telah berjaya membantu lebih 140,860 graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Tahun lalu, seramai 19,196 siswazah diambil bekerja oleh syarikat di mana mereka menjalani latihan, manakala, 16,660 orang yang lain berjaya mendapat pekerjaan di organisasi lain selepas tamat latihan.

Selain itu, Norashikin berharap lebih ramai syarikat swasta yang akan terlibat untuk membantu para graduan tempatan meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan menjadi pelatih di syarikat mereka.

“SL1M ingin menjemput semua graduan dan pencari kerja serta seluruh rakyat Malaysia untuk hadir merebut peluang yang diberikan ini bagi sama-sama berusaha meningkatkan tahap kebolehpasaran diri dengan mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan yang sesuai, ” katanya.

Pembinaan Jaya Zira antara salah satu syarikat yang menawarkan latihan sambil bekerja kepada graduan. Syarikat terbabit bersedia untuk berkongsi ilmu dengan graduan dalam memberi pengalaman alam pekerjaan sebenar.

Presiden syarikat, Datuk Adi Munawar Md. Din, berkata pihaknya membuka peluang untuk graduan merasai realiti bekerja dalam sektor pembinaan.

“Kita buka peluang ini supaya mereka tahu realiti sebenar bekerja dalam sektor pembinaan.

“Jadi selepas 12 bulan ini mereka boleh putuskan samada mahu teruskan dalam pembinaan atau mahu ke bidang lain, ” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *