Sokongan pengundi cina di P.Pinang semakin meningkat kepada BN

PULAU PINANG – Sokongan pengundi masyarakat Cina di Pulau Pinang akan semakin meningkat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Keyakinan Ahli Parlimen Balik Pulau itu bersandarkan sambutan yang amat memberangsangkan yang diberikan kaum Cina terhadap UMNO dan BN.

Beliau berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah gagal memerintah negeri Pulau Mutiara itu dengan baik walaupun sudah 10 tahun kerana tidak nampak apa-apa yang DAP buat untuk rakyat melainkan membina rumah kos yang mahal di negeri ini.

“Mereka sudah beri peluang kepada pimpinan kerajaan negeri pimpinan DAP selama dua penggal, namun tiada apa pun.

“Saya tidak nampak apa yang kerajaan negeri buat untuk rakyat melainkan buat rumah kos tinggi di Pulau Pinang untuk rakyat luar Pulau Pinang dan rakyat asing. Buat rumah RM1 juta dan RM2 juta dalam kampung, rakyat memang tidak mampu nak beli.

“Jadi saya tidak melihat sebarang hasil positif yang dilakukan kerajaan negeri khususnya di Balik Pulau,” katanya.

Pemimpin UMNO itu berkata demikian selepas menyampaikan ang pau kepada 40 golongan miskin di Sungai Ara, semalam.

Tambah beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga tidak menjaga alam sekitar dengan baik apabila tidak mengawal aktiviti penebangan pokok dan penggondolan bukit sehingga menjadi punca berlakunya tanah runtuh yang kini dilihat kerap melanda negeri berkenaan.

Hilmi juga berkata, rakyat Pulau Pinang kini sudah marah dengan pentadbiran parti Roket itu dan mula sedar bahawa sudah tiba masanya untuk menukar kerajaan pada PRU-14 yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Banjir juga makin teruk, di sini saya menerima banyak aduan tanah runtuh dan sebagainya termasuk di Balik Pulau.

“Kebiasaannya apabila hujan lebat turun, air yang turun (dari bukit) merupakan air jernih, tetapi sekarang air tanah merah. Kawasan sungai di Balik Pulau dulu tak tercemar, kini tercemar.

“Tidak pernah dalam sejarah Pulau Pinang mengalami banjir tanah merah hingga dalam bandar, hingga ke hospital. Rakyat sekarang sudah marah, sudah mula sedar jadi mereka hendak tukar semula kerajaan,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *