SPRM mahu semua pihak jangan ganggu siasatan skandal terowong

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan bahawa pihak pencegahan rasuah negara rasuah itu bertindak secara profesional dan mempunyai asas semasa memanggil saksi bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan.

Beliau merujuk kepada siasatan yang dijalankan pihak pencegahan rasuah negara itu berkaitan siasatan kes projek mega pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek mega DAP yang telah mencetuskan pelbagai kontroversi itu kini sedang disiasat SPRM ekoran wujud laporan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

Beliau juga meminta agar semua pihak jangan ganggu dan dapat memberi ruang kepada agensi rasuah itu untuk menjalankan siasatan berhubung kes projek mega DAP berkenaan.

“Kita telah memanggil dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai saksi baru-baru ini dan semalam. Jadi saya hendak menyeru kepada semua pihak supaya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Kami bertindak profesional dan apabila kita panggil, kita ada asasnya kenapa saksi itu diminta bantu siasatan. Jadi tidak perlu lah saya jawab kenapa saksi-saksi ini dipanggil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng dipanggil SPRM Pulau Pinang bagi memberi keterangan berkaitan kes projek mega yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang itu.

Susulan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan SPRM memanggil Ramasamy untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes projek mega DAP tersebut.

Katanya, Ramasamy yang merangkap sebagai Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri tidak mempunyai kaitan dengan projek mega bernilai lebih RM6 bilion itu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *