Tidak tahu bezakan hak kebebasan bersuara punca penyebaran fitnah dan hasutan

Tidak ramai pengguna laman sosial yang akan benar-benar meneliti atau menyelidik dahulu sama ada berita atau maklumat yang diterima di laman sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya sama ada palsu atau sebaliknya.

Ramai pengguna laman sosial hanya menerima bulat-bulat segala berita yang diterima dan mula menyebarkan berita terbabit pada rakan-rakan lain di laman sosial.

Penyebaran berita palsu sehingga berlakunya fitnah, hasutan, dan perkauman tidak boleh dipandang ringan. Ini keraja penyebaran berita palsu boleh menjejaskan ketenteram awam dan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, terdapat sesetengah pengguna laman sosial tidak tahu membezakan hak kebebasan bersuara menyebabkan berlakunya penyebaran fitnah dan hasutan.

Beliau berkata, sepatutnya laman sosial dijadikan sebagai tempat untuk memudahkan lakukan tugas seharian, berkomunikasi, berniaga, mendapatkan khidmat perubatan serta menimba ilmu pengetahuan.

“Pun begitu, kemudahan sebegini datang dengan cabaran dan ancamannya tersendiri.

“Selain daripada mudah terdedah kepada budaya-budaya dan unsur-unsur yang negatif, ianya turut meletakkan kita dalam situasi yang membuka ruang dan peluang untuk kita menjadi mangsa kepada pelbagai bentuk jenayah dalam talian,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, masyarakat perlu didedahkan tentang batasan undang-undang dalam kebebasan bersuara di laman sosial agar mereka menghormati dan tidak menyalahguna kebebasan mereka di laman sosial.

Oleh itu, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dibuat untuk melibatkan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.

“Saya menyokong penuh usaha ini, kerana di samping kita menitikberatkan keselamatan penggunaan Internet, kita juga dapat menambah nilai modal insan dalam kalangan anak-anak kita semua,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu dalam media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan dan mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *